Total Pageviews

Wednesday 8 April 2015

Sejarah baru negara : Mahkamah Persektuan serahkan kepada ahli parlimen undang undang hudud

KOTA BHARU – Mahkamah Persekutuan tidak akan mencampuri sebarang urusan berkaitan hudud dan menyerahkan sepenuhnya kepada ahli Parlimen menentukan sama ada Kelantan layak atau sebaliknya untuk melaksanakan undang-undang persendirian berkaitan hudud itu.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria berkata, pihaknya akan menjalankan amanah serta tanggungjawab dengan sebaik mungkin jika undang-undang tersebut diluluskan kelak.

“Kita ini mahkamah, orang buat undang-undang kita laksanakan. Kalau undang-undang itu ikut Perlembagaan, sesuai dengan Perlembagaan, kita akan ikut. Kita mahkamah. Yang lain tu polisi. Keputusan akan dibuat oleh badan perundangan.

“Badan perundangan, eksekutif, badan kehakiman kita asingkan betul-betul,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan pelancaran Sistem e-Kehakiman di Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md. Raus Sharif, Hakim Besar Malaya’ Datuk Seri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Azman Abdullah.

Arifin berkata, tiada pertindihan undang-undang akan berlaku melibatkan kuasa Mahkamah Syariah yang tertakluk kepada negeri dengan Mahkamah Persekutuan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong jika undang-undang berkenaan dilaksanakan.

“Katalah hudud itu tidak dipanggil hudud, pergi ke Parlimen (Dewan Rakyat dan diluluskan) jadi undang-undang. Tak ada label hudud pun dia boleh jadi undang-undang juga. Macam kes dadah, apa undang-undang dia? Apa premis dia? tak ada.

“Yang jadi isu sebab dipanggil hudud sahaja. Kalau nak kira, kalau nak buat undang-undang berkaitan hudud tapi tak ada perkataan hudud pun tak apa,” katanya.

Pada 18 Mac lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan notis kepada Dewan Rakyat bagi membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian berkaitan hudud.

Rang undang-undang itu adalah bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 untuk membuka laluan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac lalu meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).

No comments:

Post a Comment