Kalau Tiada Najib, Mahathir Mungkin 6 Tahun Sahaja Jadi PM
Dalam keadaan politik umat Islam di seluruh dunia tidak menentu pada hari ini, kita dikejutkan pula dengan kritikan terbuka yang dibuat oleh Ayahanda Tun Mahathir terhadap Perdana Menteri Malaysia.
Sewaktu Timur Tengah dalam keadaan krisis dan dunia yang tidak menentu akibat kemelesetan ekonomi dan peperangan, umat Islam di Malaysia masih lagi menikmati kemakmuran ekonomi dan kebahagian untuk hidup di negara ini. Ini nikmat besar Allah terhadap rakyat Malaysia. Tidak sama keadaan hari ini dengan keadaan pada zaman Tun Mahathir.
Dulu berapa ramai sahaja rakyat Malaysia? Dulu berapa banyak kereta yang ada atas jalan? Dulu berapa ramai yang pakai phone dan komputer? Dulu berapa ramai graduan dan universiti yang ada. Sekarang dunia sudah berubah, memimpin dalam dunia yang serba kompleks dan baru ini memang banyak cabaran.
Suatu ketika dulu, ramai juga yang mengagumi dan menghargai kepimpinan dan jasa yang telah ditinggalkan Tun Mahathir terhadap rakyat Malaysia. Namun usahlah penghormatan dan jasa itu berganti dengan sesuatu yang tidak baik.
Krisis Mahathir Dengan Tunku
Tun Mahathir sendiri perlu mengetahui sejarah lama beliau telah diusir keluar daripada UMNO pada suatu ketika, di zaman Tunku Abdul Rahman.
Pada 12 Julai 1969, Tun Mahathir dipecat daripada keahliannya dalam Majlis Tertinggi UMNO selepas menulis surat secara terbuka mengecam ulil amri ketika itu iaitu Tunku Abdul Rahman. Tidak bolehkah Tun Mahathir tegur Tunku pada waktu itu secara bersemuka dan baik tanpa mengaibkannya? Apakah tiada peluang langsung berjumpa?
Hukum Menegur & Cara Berhikmah
“Ajaklah (wahai Muhammad) mereka ke arah jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang elok dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik…..” (Surah An-Nahl: 125)
Sifat kasar dan keras ketika menegur hendaklah dijauhi. Ianya supaya orang yang ditegur tidak merasa malu dan melarikan diri sekaligus matlamat dakwah menjadi realiti dan terlaksana.
“Mukmin itu menasihati dan menutup (aib dan kesalahan), Orang yang jahat itu menyingkap dan mendedahkan(aib dan kesalahan)” Fudhail Bin I’yadh,Kitab Al-Wafi syarah Matan Al-Arbain An-Nawawiyyah. Tun Mahathir tentunya lebih arif dan mengetahui tentang ayat ayat ini, amatlah tidak wajar bagi seseorang yang mengetahui tidak amalkan apa yang beliau ketahui.
Jasa Tun Razak Pada Tun Mahathir
Siapa yang membawa semula Tun Mahathir ke dalam UMNO sehingga beliau naik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang paling lama? Tun Razak (bapa Najib) yang membawa semula Tun Mahathir dalam UMNO pada 7 Mac 1972. Tun Mahathir terus dilantik sebagai senator pada 1973. Kemudian menang tanpa bertanding sebagai ahli parlimen Kubang Pasu pada 1974.
Dalam masa 3 tahun sahaja. Sesuatu yang sukar berlaku pada zaman sekarang, seorang ahli UMNO biasa boleh buat “fast come back” dan menduduki kerusi penting di Naib Presiden UMNO.
Dalam masa 4 tahun, Tun Mahathir diangkat menjadi orang no 2 iaitu Timbalan Perdana Menteri. Diangkat dan dibawa naik oleh bapa Dato Seri Najib dan Dato Seri Hishammudin Hussein. Bertuah Tun Mahathir kerana diangkat dan dibawa naik begitu, belum tentu keistimewaan yang sama boleh dilakukan oleh mana mana pemimpin UMNO pada hari ini.
Bantuan Najib Menangkan Mahathir
Ramai yang tidak mengetahui bahawa Dato Seri Najib telah membantu Tun Mahathir untuk mengekalkan kedudukan sebagai Presiden UMNO pada 1987. Pada 24 April 1987, Tun Mahathir telah dicabar sebagai Presiden UMNO buat pertama kalinya selepas dipilih selama 12 tahun dalam pelbagai jawatan dalam UMNO secara tanpa bertanding.
Tun Mahathir hanya menang 43 undi sahaja. Tengku Razaleigh dapat 718 undi berbanding Tun Mahathir mendapat 761 undi. Daripada mana mana 43 undi itu datang? Menurut sumber sumber orang lama, undi itu datangnya daripada Pemuda UMNO yang dipimpin oleh Dato Seri Najib pada waktu itu.
Ini bermakna, jika tidak mendapat pertolongan 43 undi tersebut, sudah tentu karier politik Mahathir sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri akan bertahan selama 6 tahun sahaja (1981 – 1987). UMNO berada dalam krisis yang cukup meruncing ketika Tun Mahathir menjadi Presiden.
Kini Dato Seri Najib sudah 6 tahun menjadi Perdana Menteri (4 April 2009 – 4 April 2015), keadaan UMNO tidak seperti pada tahun 1987. Bandingkan situasi yang sama ketika 6 tahun Tun Mahathir menjadi Presiden UMNO. Apakah Tun Mahathir sudah lupa pertolongan Najib terhadap beliau pada 1987?
Rakyat Malaysia perlu bijak menilai teguran teguran Tun Mahathir ini. Ada yang sudah dijawab berkali kali pun dalam media. Tun Mahathir pun tahun perkara ini, namun mengapa beliau sengaja buat begitu?
Dalam hal ini, perlulah kita berbalik pada pesanan Nabi Muhammad SAW dan perintah Allah SWT agar kita tidak terpesong dengan emosi dan terikut ikut dengan perasaan, antara pemimpin dan seorang negarawan.
Antara menjaga negara dan mengekalkan perpaduan dengan sayang pada negarawan dan cetuskan spekulasi. Yang penting adalah mentaati pemimpin dan menjaga keadaan semasa agar tidak menjadi tenteram dan huru hara.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ يُطِعْ الْأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِي وَمَنْ يَعْصِ الْأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِي
“Sesiapa yang taat kepadaku, sesungguhnya ia telah taat kepada Allah. Sesiapa yang derhaka kepadaku, sesungguhnya ia telah derhaka kepada Allah. Sesiapa yang taat kepada pemimpin, sesungguhnya ia telah taat kepadaku, dan sesiapa yang derhaka kepada pemimpin, sesungguhnya ia telah derhaka kepadaku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 10/114, no. 2737. Muslim, 9/364, no. 3417)
http://www.tv14.my/2015/04/06/kalau-tiada-najib-mahathir-mungkin-6-tahun-sahaja-jadi-pm/
No comments:
Post a Comment