Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015:
Satu Lagi Langkah Yang Menyenangkan Amerika
Pada 07/04/2015 Parlimen Malaysia telah meluluskan Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 yang membolehkan tahanan tanpa bicara, setelah tiga tahun undang-undang seumpama itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dimansuhkan. POTA diluluskan dengan majoriti 79-60 ahli Parlimen setelah perdebatan selama lebih 12 jam, satu proses perdebatan yang dilihat amat terburu-buru dan terdesak. Sehari sebelumnya, 17 orang yang dikatakan “pengganas” telah ditangkap oleh polis di mana 2 daripadanya dikatakan baru pulang dari Syria, kerana disyaki merancang untuk menyerang balai polis dan kem tentera. Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semasa membahas POTA menegaskan bahawa ini adalah ancaman nyata kepada negara dan langkah pencegahan mesti dilakukan.
Di bawah Akta baru ini, mana-mana pegawai polis boleh menangkap, tanpa waran, sesiapa sahaja jika dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa terdapat alasan yang menjustifikasikan siasatan diadakan terhadap orang itu. Dengan kata lain, seseorang itu boleh ditangkap hanya atas pandangan seorang pegawai polis bahawa orang itu terlibat melakukan atau menyokong perbuatan keganasan. Polis dibenarkan menahan suspek selama 59 hari tanpa bicara sebelum dibawa ke Lembaga Pencegahan Keganasan di mana lembaga tersebut berkuasa pula untuk melanjutkan lagi tempoh tahanan selama dua tahun dan boleh diperbaharui tempohnya sekiranya lembaga memandangnya perlu. POTA juga tidak membenarkan semakan kehakiman dilakukan di mana-mana mahkamah dan tidak ada mahkamah yang boleh mengatasi keputusan lembaga yang dijalankan dalam kuasa budibicaranya.
Sesungguhnya penggubalan POTA ini tidak lebih dari usaha menghidupkan kembali ISA, dengan beberapa peruntukan yang lebih zalim. Walaupun Akta ini menyatakan seseorang itu tidak boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas kepercayaan politik atau aktiviti politiknya, namun aktiviti politik yang dimaksudkan hanyalah aktiviti yang disahkan oleh undang-undang sahaja yang bermaksud apa sahaja aktiviti, walaupun bersifat politik, tetapi jika tidak dibenarkan oleh kerajaan, maka ia boleh dikategorikan sebagai keganasan. Hal ini tidak ubah seperti ISA yang asalnya digubal untuk mengekang aktiviti komunis, namun ternyata ia lebih banyak digunakan ke atas musuh politik pemerintah.
Sehubungan dengan ini, menegaskan:
1. Kerajaan tidak sepatutnya meluluskan Akta ini dan hendaklah tidak menguatkuasakannya kerana ia secara nyata bertentangan dengan Islam. Dalam Islam, seseorang itu dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah dan pembuktian hendaklah dilakukan dalam sidang mahkamah, bukan selainnya. Hanya qadhi yang berhak menghukum seseorang sama ada bersalah atau tidak setelah orang tersebut dibicarakan menurut hukum-hakam Islam. Meletakkan kuasa pemutus kepada polis atau kepada Lembaga Pencegahan Keganasan, apatah lagi hanya dengan syak wasangka, bukannya dengan bukti, jelas menyalahi hukum syarak dalam hal pembuktian.
2. Di bawah demokrasi, ahli parlimen sepatutnya mewakili suara atau kehendak rakyat. Namun semuanya indah khabar dari rupa dan umum mengetahui bahawa ahli parlimen hanya mewakili suara parti semata-mata, bukannya mewakili kehendak rakyat. Inilah pembohongan nyata demokrasi. Lebih memburukkan, 25 orang ahli parlimen pembangkang tidak hadir semasa pembahasan. Semua ini menunjukkan yang rakyat terus ditipu di bawah proses demokrasi kerana ternyata ahli parlimen dalam demokrasi tidak mewakili aspirasi rakyat, tetapi hanya menuruti hawa pemimpin mereka semata-mata.
3. Kelulusan POTA hanyalah menunjukkan salah satu lagi usaha kerajaan Malaysia yang berjalan seiring dengan kehendak Amerika Syarikat (AS), selain untuk menutup mulut musuh politik. Kita semua tahu bahawa perang melawan keganasan yang dijaja oleh AS di sana-sini, khususnya di negara umat Islam, adalah demi menjadikan umat Islam sebagai target ‘pengganas’ yang mereka maksudkan. Apa jua aktiviti yang tidak sejalan dengan kepentingan AS apatah lagi membahayakan AS, khususnya aktiviti menegakkan Negara Islam (Khilafah), walaupun dijalankan secara politik, dianggap sebagai ekstrem dan ganas oleh AS dan AS mahukan para penguasa Muslim bersama mereka dalam peperangan ini bagi menyekat usaha kaum Muslimin yang ikhlas untuk menerapkan Islam secara kaffah di bawah naungan Khilafah.
4. Sebarang bentuk aktiviti keganasan atau kekerasan atau mengangkat senjata untuk menumbangkan pemerintah atau menimbulkan kekacauan atau ketidaktenteraman, termasuk membunuh manusia tanpa hak, baik Muslim mahupun non-Muslim, merupakan kesalahan dan dosa dan wajib dihukum. Namun, ia wajib dihukum sesuai dengan apa yang Allah turunkan. Kita memang tidak setuju dengan sebarang aktiviti keganasan tetapi pesalah wajib di bawa ke muka pengadilan dan dibicarakan, bukannya ditangkap dan ditahan hanya kerana syak wasangka.
dengan ini sekali lagi mengingatkan umat Islam bahawa POTA hanyalah salah satu undang-undang buatan manusia yang bertentangan dengan Islam, yang lahir dari rahim demokrasi. POTA, sebagaimana ISA dan lain-lain undang-undang, wujud kerana diluluskan oleh suara majoriti manusia melalui proses demokrasi. Selagi sistem kufur yang berasal dari Barat ini diamalkan dan dipertahankan, selagi itulah segala bentuk undang-undang, sekejam mana sekalipun, akan dapat diluluskan dan dilaksana dengan mudah.
Persoalannya, dari manakah ahli parlimen ini mendapat kuasa untuk membuat undang-undang jika bukan dari rakyat yang memilih mereka?
Ahmad Shuaib Ismail
12 April 2015
No comments:
Post a Comment