Total Pageviews

Wednesday 7 May 2014

Hukum Sumpah dibenarkan dalam Islam

Serba sedikit tentang sumpah

Sumpah diambil atau diucapkan dengan tujuan meyakinkan pihak lain bahawa orang yang bersumpah itu benar dalam ucapan atau pengakuannya. Keyakinan akan kebenaran itu lahir kerana orang yang bersumpah mengucapkan kata atau kalimat yang mengandungi makna bahawa, jika dia berbohong, maka dia bersedia dilaknat atau dijatuhi hukuman oleh Allah. Justeru, dalam ajaran Islam, tidak dibenarkan bersumpah kecuali menggunakan kata yang menunjuk kepada Tuhan, sebab tidak ada yang mampu menjatuhkan saksi selain Allah SWT atau atas dasar izin-Nya. Sumpah dapat lebih dikuatkan dengan pelbagai cara, antara lain, seperti diisyaratkan dalam al-Quran: “..kamu menahan kedua orang saksi sesudah solat (untuk bersumpah) dengan nama Allah jika kamu ragu (terhadap mereka), “(Demi Allah) kami tidak akan membeli dengan sumpah ini harga yang sedikit (untuk kepentingan seseorang), walaupun ia kaum kerabat,..” (Surah al-Maa’idah 5:106)

Penguat sumpah di sini dilakukan dengan memilih waktu tertentu, iaitu sesudah solat, kerana diharapkan waktu itu masih berkesan di hatinya kehadiran dan kebesaran Allah.

Al-Quran juga menggunakan pengulangan kata atau kalimah beberapa kali untuk tujuan penguat sumpah, seperti disebutkan dalam ayat 6 hingga 9 surah an-Nur. Di sini Allah memerintahkan kepada suami yang menuduh isterinya berzina (tanpa membawa empat orang saksi) untuk bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali dan kali kelima menyatakan bahawa laknat Allah atau kutukan Allah akan jatuh kepadanya jika dia termasuk dalam orang yang berbohong. Sementara itu, untuk mengelak daripada tuduhan itu, isteri juga diperintahkan bersumpah dengan nama Allah empat kali dan yang kelima menyatakan bahawa murka Allah akan jatuh kepadanya jika suaminya termasuk orang yang benar dalam ucapannya.

Ulama mengembangkan cara menguatkan sumpah, antara lain dengan menggunakan kitab suci al-Quran dan meletakkannya di atas kepala orang yang bersumpah atau dengan meminta yang bersangkutan memegangnya. Cara ini jelas tidak dikenal pada masa Rasulullah SAW. Sebabnya, walaupun ayat al-Quran sudah sempurna sebelum Rasulullah wafat dan dihafal seluruhnya oleh sahabat Baginda, namun al-Quran baru dikumpulkan dalam satu kitab setelah Rasulullah SAW wafat.

Sebenarnya, tujuan menggunakan al-Quran dalam sumpah adalah lebih menguatkan kandungan sumpah. Sebabnya, bagi seorang Muslim, al-Quran adalah firman Allah. Diharapkan dengan meletakkan di atas kepala orang yang bersumpah atau memegangnya, dia dapat lebih berasakan kebesaran Allah sehingga apa yang diucapkannya benar-benar sesuai dengan isi hatinya. Justeru, tidaklah tepat menggunakan al-Quran untuk mengambil sumpah orang bukan Islam, kerana kesan yang dimaksudkan di atas tidak mungkin akan dirasakan oleh mereka yang tidak beriman kepadanya sebagai firman Allah.

Tidak ada halangan untuk bersumpah dengan bahasa apa pun selama kandungannya dapat difahami oleh mereka yang bersumpah dan yang mengambil sumpah. Boleh saja mereka yang bersangkutan menyusun sendiri kalimat sumpahnya atau disusunkan oleh mereka yang mengambil sumpah. Sebabnya, yang terpenting adalah kandungan kalimat itu dipersetujui oleh yang bersumpah.


Mubahalah ialah masing-masing pihak diantara orang-orang yang berbeda pendapat mendoa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, agar Allah menjatuhkan la’nat kepada pihak yang berdusta.

Dalam sirah nabi peristiwa mubahalah pernah berlaku, Nabi mengajak utusan Nasrani Najran bermubahalah tetapi mereka tidak berani dan ini menjadi bukti kebenaran Nabi Muhammad s.a.w.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan seorang pelayan dan majikan datang kepada Rasulullah SAW. Lalu Baginda mengkehendaki kedua-duanya mengadakan sumpah pengutukan. Tetapi salah seorang daripada keduanya berkata: “Janganlah engkau mengeluarkan sumpah kutukan itu. Demi Allah, sekiranya dia Nabi yang benar lalu dia meminta kita mengadakan sumpah kutukan, nescaya kita tidak akan mendapat keuntungan selama-lamanya

Perhatikan ayat 59 – 63 surah Ali ‘Imran seperti maksudnya di bawah:

59. Sesungguhnya misal (penciptaan) Isa di sisi AllAh, adalah seperti (penciptaan) Adam. Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya: “Jadilah” (seorang manusia), maka jadilah dia.
60. (Apa yang telah Kami ceritakan itu), itulah yang benar, yang datang dari Tuhanmu, karena itu janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu.

61. Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya la’nat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta.

62. Sesungguhnya ini adalah kisah yang benar, dan tak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Allah; dan sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana .

63. Kemudian jika mereka berpaling (dari kebenaran), maka sesunguhnya Allah Maha Mengetahui orang-orang yang berbuat kerusakan.


Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: Dalam ayat-ayat yang lalu Allah SWT menerangkan keadaan Nabi Isa a.s. sejak daripada kandungan dan apa yang berlaku kepadanya daripada mukjizat dan bagaimana ia adalah seorang Nabi yang soleh serta hamba Allah”.

Sebab nuzul ayat ke-59

Ayat ini diturunkan kerana wujud perdebatan antara rombongan kaum Nasrani dengan Nabi SAW. Rombongan tersebut berkata kepada Nabi SAW: “Apa sebab tuan mengata-ngata tuan kami? Nabi SAW menjawab: “Apa yang telah saya katakan?” Mereka berkata: “Tuan mengatakan Nabi Isa a.s itu hamba Allah SWT!”

Nabi SAW menjawab: Benar! Dialah hamba Allah dan utusan-Nya Allah SWT pertaruhkan kalimat-Nya kepada anak dara yang tidak berkahwin iaitu Maryam”.

Mendengar jawapan Rasulullah SAW, mereka marah lalu berkata: Adakah tuan pernah melihat seorang yang dilahirkan dengan tidak berayah? Kalau tuan orang yang benar tunjukkanlah kepada kami satu contoh”.

Maka Allah SWT turunkan ayat ini, bahawa sesungguhnya Isa a.s yang dijadikan oleh Allah SWT dengan cara yang mereka anggap pelik kerana ia terjadi dalam keadaan tidak berayah. Tidaklah kurang peliknya dengan misalan Adam AS dijadikan tanpa ayah dan ibu.

Adam a.s dijadikan Allah SWT daripada tanah. Kalaulah mereka sudah mengakui tentang kejadian Adam itu tidak pelik, maka tidak sepatutnya mereka mengingkari tentang kejadian Nabi Isa pula. Kerana jika Allah SWT menghendaki terjadinya sesuatu, Ia akan mengatakan: “Jadilah engkau!” Maka jadilah ia.

Iktibar dan fiqh ayat:

Al-Maraghi berkata: “Ayat ini mengandungi perumpamaan yang sangat jelas, kerana titik persamaan kedua-dua belah pihak disebutkan dengan terang, sehingga dapat menghilangkan keraguan musuh Allah SWT. “Ini disebabkan orang yang mengingkari kejadian Nabi Isa tanpa ayah, sedangkan pada masa yang sama, dia mengakui kejadian Nabi Adam AS yang tidak berayah dan beribu, yang merupakan suatu perkara yang seharusnya tidak terjadi dan tidak dapat diterima oleh akal”.Hamka berkata: “Ayat ini membantah kedua pihak. Pertama yang tidak percaya sama sekali bahawa Nabi Isa lahir tidak dengan perantaraan bapa, sehingga dituduh dengan pelbagai macam tuduhan oleh orang Yahudi. Padahal mereka pun percaya Nabi Adam dijadikan daripada tanah tidak dengan bapa tidak dengan ibu. Orang zaman sekarang terlalu terpesona dengan teori Darwin.“Yang kedua ialah penyadaran bagi orang oleh kerana Nabi Isa tercipta dengan perantaraan Roh Allah, iaitu kalam-Nya yang menjelma menyerupai diri sebagai manusia, sebab itulah mereka tuhankan dia. Kerana perkara luar biasa itu dia dituhankan nescaya Nabi Adam yang terlebih dahulu dituhankan”.

Sebab nuzul ayat 60

Adalah diriwayatkan, bahawasanya Nabi SAW mengajak orang-orang Nasrani Najran itu beribtihal atau mubahalah, yakni berlaknat-laknatan dan sesiapa yang berdusta dialah yang ditimpa laknat. Tetapi mereka enggan.

Iktibar dan fiqh ayat:

Al-Maraghi berkata: Hendaklah kamu tetap teguh dengan keyakinan dan ketenanganmu dalam menuju kebenaran serta menjauhkan diri daripada sebarang keraguan”.Muhammad Quraish Shihab berkata: Ayat ini menegaskan apa yang ditegaskan oleh ayat yang lalu bahawa apa yang telah Allah SWT wahyukan kepadamu ini wahai Muhammad itulah kebenaran mutlak. “Kemutlakan itu difahami daripada bentuk makrifat, yakni huruf alif dan lam yang menghiasi kata hak. Kebenaran mutlak itu datang dari Tuhanmu Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kasih padamu”.Hamka berkata: “Ayat ini membantah kepercayaan yang ganjil itu. Lalu dijelaskan bahawa Allah Maha Kuasa telah menciptakan Nabi Adam dari tanah tidak dengan perantaraan bapa dan ibu. “Datangnya Nabi Adam ke dunia bukanlah mempusaka dosa dan lahirnya Nabi Isa bukan pula penebus dosa melainkan sebagai Rasul-rasul Allah yang lain juga. Diutus sebagai pembimbing manusia menuju ke jalan yang diredai-Nya”.

Sebab nuzul ayat 61

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan seorang pelayan dan majikan datang kepada Rasulullah SAW. Lalu Baginda mengkehendaki kedua-duanya mengadakan sumpah pengutukan. Tetapi salah seorang daripada keduanya berkata:Janganlah engkau mengeluarkan sumpah kutukan itu. Demi Allah, sekiranya dia Nabi yang benar lalu dia meminta kita mengadakan sumpah kutukan, nescaya kita tidak akan mendapat keuntungan selama-lamanya”.

Lalu kedua-duanya berkata kepada Nabi SAW,Kami akan memberi tuan apa yang tuan minta”. Oleh itu, kirimkanlah bersama kami seorang lelaki yang tuan amanahkan.”

Lalu Nabi SAW bersabda: “Berdirilah engkau wahai Abu Ubaidah”. Tatkala dia sudah berdiri lalu Baginda bersabda: “Inilah orang kepercayaan daripada umat ini (Islam)”.

Abu Nu’aym meriwayatkan dalam kitab al-Dalail, daripada Ibn Abbas, “terdapat lapan orang Nasrani Najran datang kepada Rasulullah SAW. Antara mereka, terdapat seorang pelayan dan majikan. Lalu Allah SWT berfirman, Katakanlah, mari…, lalu mereka berkata, “Berilah kami tempoh tiga hari”.

Mereka kemudiannya pergi kepada kaum Yahudi Quraizah, Nadr dan Qainuqa’. Lalu mereka memberi isyarat agar mengadakan perdamaian dan jangan mengadakan sumpah saling mengutuk dengan Baginda. Mereka berkata, “Dialah Nabi yang kita temui di dalam Taurat kerana itu adakanlah perdamaian dengan Baginda dengan bayaran sebanyak 1,000 helai pakaian dibayarkan pada bulan Safar dan 1,000 lagi pada bulan Rejab serta beberapa dirham”.

Diriwayatkan bahawa Nabi SAW memilih Fatimah, Ali dan kedua-dua puteranya untuk mengerjakan mubahalah ini. Baginda kemudiannya keluar bersama mereka, sambil bersabda, “Jika aku membaca doa, hendaklah kamu mengaminkannya”.

Ibn Asakir meriwayatkan daripada Ja’far daripada bapanya, bahawa ketika ayat ini turun, beliau membawa Abu Bakar r.a bersama seorang anaknya, Umar r.a., bersama seorang anaknya, dan Uthman r.a bersama seorang anaknya. Tidak diragukan daripada ayat ini orang akan memahami bahawa Nabi SAW menyuruh golongan Ahli Kitab yang memperdebatkan peristiwa Nabi Isa dengan kaum mukmin agar mengumpulkan kaum lelaki, wanita dan anak-anak daripada kalangan mereka.

Nabi SAW juga mengumpulkan orang yang beriman, kaum lelaki, wanita dan anak-anak untuk melakukan doa mubahalah, iaitu memohon laknat ditimpakan kepada orang yang berdusta dalam persoalan Nabi Isa ini.

Iktibar dan fiqh ayat:

Al-Maraghi berkata: “Dalam ayat di atas perkataan anak-anak soleh dan isteri disebut terlebih dahulu daripada dirinya sendiri. Padahal seseorang sentiasa memikirkan nasib anak dan isterinya, sebenarnya adalah untuk menyatakan betapa Nabi SAW telah berasa aman, memiliki kepercayaan yang penuh dan keyakinan yang teguh dengan kebenaran misinya, hinggakan Baginda menaruh kepercayaan sesuatu misbah yang tidak diinginkan akan menimpa mereka. “Ayat ini dinamakan ayat mubahalah, ertinya berdoa agar musuhnya mendapat laknat Allah”.Muhammad Quraish Shihab berkata: “Ayat ini diletakkan setelah ajakan memanggil anak dan isteri dan sebelum bermubahalah. Ini memberi isyarat bahawa Nabi SAW masih memberi kesempatan waktu yang relatif tidak singkat kepada yang diajak itu, untuk berfikir menyangkut soal mubahalah, kerana akibatnya sangat fatal”.Hamka berkata: “Mubahalah ialah bersumpah yang berat. Di dalam sumpah itu dihadirkan anak dan isteri dari kedua pihak yang bersangkutan, lalu diadakan untuk mempertahankan kebenaran masing-masing. “Jika kedua belah pihak masih tidak mengalah dan bertolak ansur maka tunggulah laknat-Nya kepada siapa yang masih mempertahankan pendirian yang salah. Inilah ajakan Rasulullah SAW kepada utusan-utusan Najran yang mempertahankan Nabi Isa adalah putera Allah SWT. “Ayat mubahalah adalah pembuktian antara yakin dan teguhnya orang Islam pada iman dan kepercayaannya. Keyakinan Tauhid adalah pegangan seluruh keluarga untuk mempertahankan diri hidup atau mati demi menegakkan kebenaran”.

Iktibar dan fiqh ayat ke-62:

Al-Qurtubi berkata: “Isyarat pada sesungguhnya ini, kembali kepada al-Quran dan apa yang terkandung daripada kisah-kisah. Di namakan kisah kerana segala makna ikut mengikuti antara satu sama lain”.Sheikh Sya’rawi berkata: “Jika datang kisah daripada tuhan yang satu, maka kita yakin bahawa tiada lagi di sana Tuhan yang lain mendatangkan dengan kisah-kisah yang lain”.Al-Sonhadji berkata: “Ayat ini dijadikan hujah menolak dakwaan orang-orang Nasrani yang mengatakan, Allah SWT itu Tuhan yang ketiga dari tiga serangkai. Dan sesungguhnya Allah itu adalah Yang Maha Perkasa lagi Bijaksana. Yakni tidak ada yang lebih perkasa dan lebih bijaksana daripada-Nya, dan tidak ada yang layak untuk menandingi-Nya selain Allah sendiri”.

Iktibar dan fiqh ayat ke-63:

i. Ibn Kathir berkata: “Allah menutup ayat ini dengan menjelaskan siapa yang menyeleweng daripada kebenaran kepada kebatilan maka dialah yang sebenarnya merosakkan di muka bumi. Sedangkan Allah Maha Mengetahui dan pasti membalas perbuatan mereka kerana Dia Maha Berkuasa atas segala-galanya.ii. Hamka berkata: “Tasamuh (toleransi) beragama ini adalah dasar dari dakwah Islam. Yang menentukan petunjuk bagi manusia , bukanlah manusia melainkan Allah SWT. Tetapi orang tidaklah boleh berhenti mengadakan dakwah. “Suatu toleransi tidak disertai dengan perluasan dakwah akan menuju kehancuran. Kita harus berani mengikut Rasulullah SAW, berani berhadapan dengan pemeluk agama yang lain dengan mengadakan mubahalah. Sesungguhnya keberanian itu tidak akan wujud jika kita tidak mengerti agama kita sendiri”.

Berdasarkan ayat-ayat di atas jelas betapa rosaknya golongan Yahudi dan Nasrani apabila mempertuhankan Nabi Isa sedangkan apabila di ajak bermubahalah mereka begitu gentar dan takut seperti yang terjadi kepada golongan Nasara Najran.

Malah Aisyah r.a ketika dituduh melakukan perbuatan jahat itu dengan seorang sahabat, beliau juga bersumpah menafikannya tetapi dalam bentuk sedikit berbeza iaitu beliau melafazkan :

والله لا أستغفر الله منه أبدا

Ertinya : Demi ALlah aku tidak akan meminta ampun kepada Allah sama sekali

Perkataan itu adalah sumpah membersihkan dirinya. Menyatakan beliau tidak perlu minta ampun kepada Allah dalam menghadapi tuduhan itu adalah satu tanda jelas beliau tidak melakukan sebarang kesalahan sebagaimana dituduh. 

 

No comments:

Post a Comment