Total Pageviews

Monday 2 March 2015

Asas Mazhab Shafie di perundangan syariah Malaysia

Mazhab Shafie Dalam sistem syariah dan mahkamah Syariah di Malaysia 


Secara asas


MAZHAB SYAFI‘I DALAM PERUNDANGAN DAN FATWA


1. Kedudukan mazhab Syafi‘i di Malaysia diperkukuhkan lagi melalui peruntukan undang-undang melalui enakmen negeri- negeri. Mengambil kira sejarah perkembangan mazhab Syafi‘i di Malaysia pihak berkuasa negeri telah mengambil langkah dengan lebih jelas iaitu menerima pakai mazhab Syafi‘i dalam fatwa-fatwa negeri. Sebagai contoh Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan dalam Seksyen 39. 


2. Pertama dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 34, atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 38, mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan- pandangan diterima (qaul muktamad) mazhab Syafi‘i. Kedua jika Mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad mazhab Syafi‘i akan membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah mengikut qaul muktamad mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.


3. Ketiganya ialah jika Mufti berpendapat bahawa tiada satu pun qaul muktamad daripada empat mazhab itu boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah menyelesaikan persoalan itu mengikut hematnya sendiri tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana mazhab yang empat itu. Jelas dari peruntukan di atas keutamaan mazhab Syafi‘i dalam fatwa berbanding dengan mazhab lain. Satu-satunya perkara yang diambil kira untuk menerima pakai mazhab selain Syafi‘i ialah kepentingan awam. Ini adalah satu bentuk siyasah syariyyah daripada pihak pemerintah demi untuk menjaga kemaslahatan keharmonian hidup beragama di negara kita yang telah sebati dengan mazhab Syafi‘i dengan pada masa yang sama memberi ruang kepada mazhab lain dalam fatwa jika ada kepentingan awam.


4. Kaedah penyeragaman ini sangat perlu diambil perhatian oleh semua pihak agar keharmonian hidup masyarakat Islam tidak tergugat dengan pendapat-pendapat yang lain dari mazhab Syafi‘i yang tidak perlu diketengahkan untuk masyarakat awam. Dalam perkembangan yang sama Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan telah memutuskan beberapa ketetapan seperti berikut.  Pertamanya ialah semua fatwa yang diputuskan mestilah berdasarkan kepada qawl yang muktabar dalam mazhab Syafi‘i. Jika hendak beramal dengan qawl dari mazhab lain maka perlu mendapat restu daripada Yang Di Pertuan Agong. Keduanya umat Islam tidak dipaksa beramal dengan mazhab Syafi‘i bahkan boleh beramal dengan mana-mana mazhab lain yang disukai dengan syarat mereka tidak boleh menyalahkan orang-orang yang beramal dengan mazhab Syafi‘i.


5. Ketiganya ialah mazhab-mazhab lain tidak boleh diajar atau disyarah secara terbuka di khalayak ramai namun boleh diajar di majlis- majlis pelajaran. Keempat adalah menjadi satu kesalahan jika mengajar mazhab lain selain daripada mazhab Syafi‘i secara terbuka. Kelima jika fatwa telah dikeluarkan berasaskan kepada mazhab Syafi’i, maka tiada sesiapa pun boleh membantahnya dengan menggunakan hujah daripada mazhab yang lain. Selain daripada itu Jakim telah menerima pakai cadangan Majlis Kebangsaan 


6. Bagi Hal Ehwal Islam agar penyebaran fahaman-fahaman selain mazhab Syafi‘i hendaklah dikawal bagi tujuan membendung fahaman yang boleh mengelirukan masyarakat yang tidak terdedah dengan perbezaan mazhab-mazhab. Cadangan ini telah diperkenan oleh Mesyuarat Majlis Raja-raja ke 133 (khas) pada 3 Disember 1984. Apa yang jelas dari peraturan ini ialah untuk menjaga orang awam dari terdedah kepada kekeliruan aliran mazhab yang berbagai. Dengan kedudukan mazhab Syafi‘i yang telah sebati dalam kehidupan mereka tentunya akan timbul kekeliruan jika mazhab lain turut didedahkan kepada awam.



Ahmad Shuaib Ismail 

3/3/2015

No comments:

Post a Comment