Total Pageviews

Sunday 17 May 2015

Najib bangkit Dengan 13 jawapan kepada semua fitnah tomahan Persepsi ke atas kerajaan

Monday, May 18, 2015

Najib jawab isu, tuduhan terhadapnya dan kerajaan dalam blog

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjawab tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan terhadap beliau dan kerajaan, termasuk mengenai kes Altantuya.
Najib, dalam catatan terbaharunya di Twitter dan blog NajibRazak.com, berkata: "Saya telah meluangkan masa untuk melihat pelbagai soalan dan isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu, dan telah menulis pendapat saya mengenainya."

Najib menyenaraikan 13 tuduhan dan dakwaan itu dengan menyertakan maklum balas beliau:

1. Tuduhan mengenai isu Altantuya.

a. Kes ini telah disiasat, dibicarakan dan diputuskan di Mahkamah Persekutuan. Ia adalah kes sembilan tahun yang tanpa pengakhirannya kerana ia terus "dikitar semula" oleh Pembangkang.

b. Memandangkan ia adalah kes mahkamah yang berpanjangan, pihak yang membuat rayuan mempunyai masa yang mencukupi untuk memberi keterangan dan menceritakan segala-galanya kepada mahkamah. Jadi, mengapa kita perlu mendengar kepada individu-individu yang telah memberi keterangan dan didapati bersalah terhadap jenayah itu?

c. Apa yang penting ialah penghakiman itu telah membawa keadilan kepada semua orang, yang paling penting buat keluarga mangsa, kepada tertuduh dan juga kepada saya.

d. Saya telah banyak kali menyatakan bahawa saya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu ini, malah saya telah pun melafazkan sumpah Al-Quran di sebuah Masjid.

e. Rakyat perlu mengambil kira bahawa dalam politik, banyak isu yang terus dimainkan, dan ini adalah satu daripadanya. Ia menjadi panas ketika saya merupakan bakal perdana menteri dan pembangkang memerlukan cara untuk menghalang saya daripada menyandang jawatan itu.

Oleh kerana kedua-dua pengawal peribadi itu pernah bekerja untuk saya, dan Razak Baginda adalah rakan dan sekutu, mereka cuba untuk mengaitkan perkara itu dengan saya. Razak Baginda telah secara terbuka mengakui perhubungannya dengan Altantuya tetapi saya sama sekali tidak tahu mengenainya.

Pakatan dan media mereka telah secara tidak bertanggungjawab cuba untuk memainkan perang saraf ini dengan cuba mengaitkan saya dan mempengaruhi persepsi.

Malah, mereka sanggup melakukan teknik tindanan terhadap gambar saya makan malam dengan mangsa di sebuah restoran. Dalam era media sosial kini, perkara-perkara ini mudah menjadi viral tanpa kawalan, termasuk gambar yang ditindan itu.

f. Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas perdana menteri, telah menerima laporan siasatan penuh daripada pihak polis dan secara peribadi telah mengesahkan bahawa saya tidak terlibat.

g. Berikutan perkembangan di atas, adalah tidak adil untuk memaksa saya menyiasat kes ini lagi dan mendesak untuk tahu siapa, jika ada sesiapa, yang mengarahkan pembunuhan itu. Saya tidak terlibat dan tidak tahu apa-apa. Mahkamah telah memutuskan siapa yang bersalah bagi pembunuhan itu. Itu sepatutnya menjadi pengakhiran cerita ini.

h. Saya merasa terganggu kerana isu ini dibangkitkan sekali lagi. Kita semua tahu bahawa jika pemimpin-pemimpin veteran berkeras membangkitkannya, walaupun secara sepintas lalu, ia secara automatik akan menyebabkan isu ini dibangkitkan sekali lagi.

i. Individu-individu berpengaruh berkenaan mempunyai banyak sumber. Apabila isu ini meletus, saya percaya mereka masih dapat mengesahkan kesahihan tuduhan itu. Jika mereka percaya ini benar, mengapa mereka tidak membangkitkannya ketika isu itu tercetus 8 tahun lepas? Mengapa sekarang? Ada yang berkata bahawa mereka hanya mempersoalkan isu ini sekarang kerana ia telah bertukar menjadi suatu perkara berkaitan hidup dan mati orang yang telah disabitkan kesalahan itu. Tetapi kes ini telah dibicarakan di mahkamah, dengan keputusan yang jelas dan hukuman yang dikenakan. Adakah mereka mempertikaikan sistem kehakiman yang diwujudkan mereka?

j. Walaupun perbincangan dan pertimbangan secara panjang lebar oleh mahkamah, masa yang mencukupi telah diberikan kepada pihak yang merayu supaya kes mereka didengar dan diadili, Sumpah Laknat saya (Bersumpah Al-Quran), penafian yang saya lakukan berulang kali, penjelasan umum oleh Razak Baginda, sesetengah orang terus mempersoalkan isu ini dan terus cuba untuk membabitkan saya.

2. Dakwaan bahawa media antarabangsa melabelkan Malaysia sebagai 'Negara Paling Banyak Mengamalkan Rasuah'.

a. Saya sedar tentang komen itu. Bagaimanapun, tajuk itu diambil daripada kaji selidik berdasarkan persepsi. Kebanyakan kita lebih bergantung kepada ukuran empirikal yang digunakan kumpulan bebas yang boleh dipercayai. Satu daripada contohnya ialah Indeks Transparency International. Mengikut indeks itu, Malaysia kini menduduki tempat ke-50 daripada 175 negara, meningkat tiga takat daripada tahun sebelumnya. Sekiranya negara kita adalah yang paling kuat banyak mengamalkan rasuah, mengapa kedudukan kita begitu jauh daripada nombor 175?

b. Saya sukar memahami mengapa seseoerang yang sebelum ini selalu mengkritik media antarabangsa sebagai bersikap berat sebelah, tiba-tiba kini mempercayai dan menerima hujah mereka sebagai sesuatu yang benar.

c. Ingatkan pemimpin veteran ini pernah menyifatkan media barat sebagai 'berat sebelah' apabila ia menerangkan tentang pentadbiran mereka. Jadi, apabila media barat mengkritik pentadbiran itu, mereka dianggap berat sebelah, tetapi apabila mereka mengkritik pentadbiran saya, mereka tidak pula bersifat begitu? Nampaknya di sini, ada berat sebelah.

d. Baru-baru ini, Transparency International mengulangi bahawa amalan rasuah di Malaysia adalah terkawal dan peningkatan pelaburan asing di negara ini menjadi buktinya. Indeks Kebebasan Ekonomi 2015 meletakkan Malaysia di tempat ke-31 sebagai ekonomi paling bebas daripada kalangan 178 negara, dengan mendapat 70.8 markah. Ini merupakan peningkatan 1.2 mata sejak tahun lepas, dengan adanya penambahbaikan dari segi kebebasan daripada rasuah, kebebasan berniaga dan kebebasan perdagangan mengatasi penurunan dari segi kebebasan tenaga kerja serta pengurusan perbelanjaan kerajaan.

e. Bloomberg meletakkan kita di tempat kelima sebagai pasaran sedang muncul yang mempunyai masa depan paling cerah pada 2015 dan merupakan satu-satunya negara anggota ASEAN yang menduduki senarai 10 teratasnya.

f. Bank Dunia menaikkan kedudukan kita daripada nombor 20 pada 2014 kepada nombor 18 pada 2015 dalam indeks 'Ease of Doing Business' mereka.

g. Bagaimana kita boleh memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia yang cukup berdaya saing itu sekiranya kita dikatakan begitu banyak mengamalkan rasuah seperti yang didakwa pihak tertentu?

h. Isu yang ditimbulkan dalam Laporan Ketua Audit Negara memang perlu ditangani dan diselesaikan. Tetapi, apa yang penting di sini ialah kita mencatat kemajuan. Pada 2013, terdapat 418 perkara yang diketengahkan, tetapi pada 2014, jumlahnya menurun kepada 319. Kita berharap dapat terus mengurangkannya lagi pada tahun-tahun akan datang.-17/5/2015

Usah buat spekulasi, kesimpulan mengenai 1MDB, kata PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau kesimpulan mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tanpa bersandarkan maklumat yang akan diumumkan Ketua Audit Negara, tidak lama lagi.

Dalam catatan terbarunya di blog NajibRazak.com bagi menjawab tuduhan mengenai 1MDB, Najib berkata, laporan itu akan memperincikan butiran kewangan syarikat pelaburan berkenaan.

"Kita semua mahukan jawapan yang terperinci tetapi lebih wajar kita membiarkan juruaudit melaksanakan tugas mereka dan memaklumkan dengan jelas apakah keadaan sebenarnya.

"Jika kita membuat kesimpulan terlebih dulu, kita hanya melemahkan mereka, sepertimana dilakukan ramai yang lain. Ini bukanlah prosedur yang betul," katanya.

Tegas Perdana Menteri, jika rakyat ikhlas mencari kebenaran di sebalik isu membabitkan 1MDB, mereka seharusnya mendapatkan maklumat daripada sumber sahih (seperti Ketua Audit Negara) dan bukannya diperolehi dari portal berita pihak ketiga atau mana-mana blog dalam talian yang mempunyai agenda tersembunyi.

Malah, kata Najib, adalah tidak adil bagi segelintir ahli politik untuk 'menghukum kerajaan dalam mahkamah persepsi awam' sebelum fakta sebenar diumumkan pihak berkuasa yang sahih seperti Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dwipartisan.

"Apabila kebimbangan (mengenai 1MDB) dibangkitkan, saya mahukan penjelasan yang terperinci dan telah mengarahkan Ketua Audit Negara dan PAC menyiasat 1MDB.

"Sesiapa yang didapati bersalah melakukan sebarang penyelewengan atau salah laku akan dibawa ke muka pengadilan," tegasnya.

Sementara itu, dalam laporan berita terbaru, 1MDB berkata lembaga pengarah dan barisan pengurusannya memberi kerjasama penuh kepada pihak Ketua Audit Negara, Polis Diraja Malaysia dan PAC bagi membuat penilaian terhadap syarikat berkenaan.-17/5/2015

PM nafi abaikan bumiputera bagi dapatkan kembali sokongan orang Cina dan India

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan beliau mengetepikan tindakan afirmatif untuk Bumiputera dalam usaha mendapatkan kembali sokongan orang Cina dan India.

"Oleh itu, secara ringkasnya, untuk mengatakan saya mengetepikan tindakan afirmatif, adalah karut," kata beliau dalam catatan terbaharunya dalam blog NajibRazak.com.

Dalam catatannya itu, Najib menyenaraikan 13 tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya dan kerajaan, selain memberi maklum balas beliau berhubung perkara itu.

"Sebagai prdana menteri, saya juga memberi banyak sokongan kepada orang Cina dan India dan semua komuniti lain yang menjadikan negara kita ini hebat. Namun demikian, ia bukan dilakukan dengan mengabaikan Bumiputera," tegas beliau.

Najib berkata fokus utama beliau ialah untuk meningkatkan carta pai ekonomi agar lebih banyak dapat diberikan kepada semua kaum.

"Selagi saya dapat memastikan wujudnya pertumbuhan ekonomi, maka akan ada mobiliti sosial, dan semua kaum akan dapat mendaki tangga ekonomi yang lebih tinggi," kata beliau.

Mengenai dakwaan bahawa 1Malaysia sama dengan Malaysian Malaysia, Najib menjelaskan bahawa 1Malaysia merupakan suatu usaha untuk mewujudkan perpaduan, dan perbezaan paling utama dengan konsep 'Malaysian Malaysia' ialah 1Malaysia jelas menerima Perlembagaan Malaysia secara keseluruhannya terutama semua peruntukan yang terkandung dalam Perkara 153.

"'Malaysian Malaysia' pada mulanya adalah suatu konsep yang bercanggah dengan Perkara 153 dan kemudiannya bersifat amat taksa. Kalaulah 1Malaysia benar-benar sama dengan Malaysian Malaysia, tentu sekali tidak akan ada Majlis Permerkasaan Bumiputera, TERAJU dan lain-lain lagi.

"Kalaulah 1Malaysia benar-benar sama dengan Malaysian Malaysia, tentulah tidak akan ada Model Baharu Ekonomi (MBE), satu rangka kerja untuk meningkatkan sifat ekslusif dalam ekonomi dan pada masa sama, memperkasakan masyarakat Bumiputera agar mereka menjadi lebih berdaya saing," kata beliau.

Oleh itu, katanya, untuk mengatakan bahawa 1Malaysia adalah sama dengan Malaysian Malaysia merupakan suatu perbuatan memutarbelitkan realiti, dengan niat yang tidak lain dan tidak bukan iaitu untuk menipu orang Melayu.

Mengenai 'jambatan bengkok' yang kononnya kerajaan tidak berani membina jambatan itu di atas tanah Malaysia tanpa mendapat kelulusan daripada Singapura, Najib berkata jambatan itu tidak dibina kerana Malaysia komited untuk mematuhi semua perjanjian yang telah ditandatanganinya.

"Mana-mana jambatan sedemikian, jika dibina bagi menggantikan Tambak Johor tanpa kebenaran nyata daripada PUB (Lembaga Kemudahan Awam) Singapura, akan melanggar hak hartanah di bawah undang-undang antarabangsa," kata beliau.

Perdana menteri berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menasihatkan kerajaan mengenai kesahihan sebarang pengubahsuaian kepada Tambak Johor di bawah undang-undang antarabangsa.

"AGC telah menasihatkan bahawa paip-paip dalam Tambak Johor adalah tertakluk kepada perjanjian air Johor-Singapura (1961, 1962), yang menggariskan bahawa paip-paip milik PUB Singapura, dan sebarang pengubahsuaian paip itu mesti diluluskan oleh PUB," kata Najib.

Beliau berkata hubungan Malaysia-Singapura telah meningkat "ke satu tahap di mana kami kini terlibat dalam projek dan usaha sama yang membawa kedudukan yang menguntungkan bagi kedua-dua buah negara".

"Untuk meningkatkan lagi perhubungan antara Malaysia dan Singapura, kami kini membina keretapi berkelajuan tinggi dan malah, mencetuskan idea jambatan persahabatan yang tidak akan melanggar undang-undang antarabangsa dan melihat kami membina sebuah jambatan yang dimahukan oleh kedua-dua negara," jelas beliau.-17/5/2015

BR1M satu langkah ekonomi, bukan rasuah, kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, hari Ahad mengulangi bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M adalah satu langkah ekonomi dan bukannya rasuah.

Tegasnya, BR1M adalah satu jaringan keselamatan sosial yang disyorkan oleh Jawatankuasa Fiskal Negara terdiri daripada pegawai-pegawai Unit Perancang Ekonomi (EPU), Bank Negara dan Kementerian Kewangan yang kebanyakannya adalah pakar ekonomi, bukannya ahli politik.

"Ingin saya ingatkan, BR1M diberikan kepada semua tanpa mengira kecenderungan politik individu berkenaan. BR1M diberikan tanpa mengira bilakah pilihan raya akan diadakan.

"Nurani saya jelas, BR1M adalah langkah ekonomi, bukannya rasuah," kata Perdana Menteri dalam catatan terbarunya di blog 'NajibRazak.com' sebagai menjawab tuduhan bahawa BR1M adalah rasuah.

Najib berkata, ada segelintir ahli politik yang membangkitkan bahawa biarpun adanya BR1M, tetapi rakyat "tidak bersyukur."

"Ini adalah sebabnya mereka percaya ia rasuah dan tidak berada dalam laman yang sama dengan Jawatankuasa Fiskal. Kita melihatnya sebagai satu langkah ekonomi, tetapi ahli-ahli politik melihatnya semata-mata dalam konteks politik," katanya.

Malah, kata Najib, jaringan keselamatan sosial seumpamanya itu turut dilaksanakan di banyak negara-negara lain, termasuk ada yang menggelarnya "manfaat pengangguran" yang menyasarkan kumpulan penganggur.

Sebaliknya BR1M menyasarkan kumpulan berpendapatan rendah dan kedua-duanya pada dasarnya, adalah satu bentuk elaun keselamatan sosial kerana menyasarkan kumpulan rentan.

"Kita berhasrat untuk merasionalisasikan subsidi menyeluruh yang menyasarkan golongan yang memerlukan. Semua orang (termasuk yang kaya dan warga asing) mendapat manfaat daripada subsidi menyeluruh ini.

"Dengan menghapuskan subsidi menyeluruh, kita menjana penjimatan yang kemudiannya disalurkan kepada mereka dalam kumpulan berpendapatan rendah. Dan, kita akan dapat memberi kumpulan yang layak ini lebih daripada apa yang mereka akan terima daripada skim subsidi menyeluruh," kata Najib.

Oleh itu, tegas Perdana Menteri, BR1M perlu dilihat dalam konteks subsidi bersasar dan Jawatankuasa Fiskal percaya ia dapat mengurangkan ketirisan selain meningkatkan kecekapan mekanisme subsidi.

BR1M turut memenuhi keperluan mereka yang memerlukan bagi sebarang perbelanjaan tambahan yang mungkin ditanggung berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menurut Perdana Menteri, ketika sesetengah pihak mendakwa bahawa GST adalah cukai regresif kerana setiap orang termasuk golongan miskin adalah tertakluk kepadanya.

Bagaimanapun, dengan adanya BR1M, GST bukanlah regresif kerana kumpulan berpendapatan rendah ini menerima ganti rugi.

Malahan, sebahagian besar hasil GST akan dibelanjakan untuk komuniti yang rentan berkenaan.

"Orang selalu berkata, berikan seseorang itu seekor ikan dan kamu hanya memberinya makan untuk sehari. Ajarlah dia untuk memancing, maka kamu mengajarnya untuk makan sepanjang hayatnya. Namun, dalam dunia realiti, kita perlu melakukan kedua-duanya.

"Memberi bantuan kepada yang memerlukan dan pada masa sama, membuat pelaburan dalam pendidikan, peningkatan kemahiran dan produktiviti," kata Najib.

Malah, Kementerian Pendidikan, katanya, menerima peruntukan terbesar daripada bajet.

Selain itu, kata Perdana Menteri, kerajaan turut mewujudkan entiti seperti TERAJU, Tekun, Genovasi, Superb, MAGiC dan banyak program latihan kerajaan di bawah pelbagai kementerian.

Menerusi blognya itu, Najib turut menjawab tuduhan bahawa beliau mengetepikan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan mewujudkan agensi baharu (Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) bagi merancang pembangunan negara.

"Saya menubuhkan PEMANDU sebagai badan penyelaras untuk menyelia program transformasi yang bukan sahaja meliputi aspek ekonomi di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), tetapi juga aspek bukan ekonomi di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang sudah pastinya tidak terletak di bawah bidang kuasa EPU kerana ia adalah sebuah badan ekonomi," tegasnya.

Bercanggah dengan apa yang dikatakan sesetengah pihak, Nabib berkata beliau meletakkan kepercayaan yang amat tinggi kepada EPU kerana ia merupakan kunci bagi memastikan kejayaan ETP.

"Malah saya turut melantik seorang daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) paling berkebolehan untuk menerajui EPU," katanya.-

1 comment:

  1. Mendengar, tidak ada pemberi pinjaman yang bersedia untuk membantu anda, mereka bukan sahaja di sini untuk merobek anda meletakkan wang hasil titik peluh anda. Suami saya dan saya mencari pemberi pinjaman yang berbeza pemberi pinjaman dalam talian, tetapi pada akhirnya, kita telah berbohong kepada dan ripped off wang kepada pelabur yang berbeza dalam talian.
    Kami juga dipinjam peminjam wang pembayaran dalam talian, tetapi pada akhirnya, kami mendapat apa-apa.
    Suami saya dan saya berada dalam hutang, kita tidak mempunyai jangka pertolongan, memusnahkan perniagaan keluarga kami, kami tidak mampu untuk membuat wang untuk perbelanjaan harian mereka sehingga kita telah diperkenalkan kepada isterinya Amanda yang membantu kami dengan tawaran pinjaman tanpa jaminan kami .
    Untuk maklumat mengenai cara untuk mencapai pinjaman Cik Amanda atau maklumat lanjut mengenai program ini mengikut, sila e-mel saya, fredrikaterry@gmail.com hubungi saya
    Atau anda boleh menghantar e-mel kepada Puan dianarobertloanfirm@gmail.com dan dianarobertloanfirm@accountant.com

    ReplyDelete