Total Pageviews

Sunday 15 March 2015

Hudud : pakatan gagal mendapatkan persetujuan

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat gagal mencapai sebarang persetujuan mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan meskipun tiga wakil negeri itu mengemukakan pindaan rang undang-undang itu kepada pimpinan PKR dan DAP.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan Majlis Presiden Pakatan Rakyat membincangkan undang-undang itu namun tidak ada sebarang persetujuan dicapai.

“Ya kami membincangkannya. Mesyuarat berjalan dengan amat baik…perbincangan terperinci telah diadakan,” kata beliau tanpa mengulas lanjut.

Bagaimanapun Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Gobind Singh Deo yang turut hadir di mesyuarat itu menegaskan partinya tetap menolak rang undang-undng hudud PAS itu.

Beliau juga berkata Exco Kelantan tidak membentangkan pindaan rang undang-undang berkenaan kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini.

“Saya melihat undang-undang itu dan apa yang (dibentangkan) melebihi jangkaan (daripada) pindaan,” kata Gobind kepada pemberita selepas mesyuarat itu berlangsung.

“Mereka sebalikny mengemukakan keseluruhan rang undang-undang…bukan hanya pindaan. Apa yang dikemukakan mirip kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993,” kata beliau.

Oleh itu katanya, DAP meminta agar PAS Kelantan melihat semula draf berkenaan, sebelum parti itu membuat keputusan dan pendirian.

“Kedudukan kami, seperti yang dikatakan sebelum ini, sangat konsisten, kami menentang pindaan itu. Kembali kepada undang-undang berkenaan, kami diminta untuk mempertimbangkan semula, sebab pada awalnya kami diberitahu ada pindaan,” kata Gobind.

“Jadi bila diberitahu pindaan, apa yang patut dibentangkan adalah pindaan, tapi bukan bermakna kami akan bersetuju dengan pindaan itu.”

Gobind berkata kesanggupan DAP meneliti pindaan itu tidak harus dianggap sebagai persetujuan parti terhadap hudud.

Beliau berkata DAP tetap berpendirian sebarang “undang-undang (negeri) yang membabitkan hukuman untuk kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan adalah melanggar perlembagaan.”

“Apa yang kami mahu mereka kembali dengan pindaan dan kita akan melihat daripada situ,” ujar Gobind.

Pimpinan Kerajaan negeri Kelantan sebelum ini menegaskan ia tetap akan membentangkan pindaan undang-undang syariah itu di DUN pada 18 Mac ini, walaupun tanpa persetujuan Pakatan Rakyat.

Kelantan mencadangkan pindaan kepada undang-undang itu di peringkat DUN sebelum membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi memudahkan pelaksanaan hudud di negeri itu.

Sebelum ini Gobind menegaskan PAS harus menganggap dirinya bukan lagi ahli Pakatan Rakyat jika mahu membentangkan pindaan undang-undang itu tanpa persetujuan Pakatan.

Hudud meliputi jenayah menurut undang-undang Islam seperti mencuri, merompak, zina, minum arak dan hubungan seks di luar perkahwinan.

Isu itu menjadi duri dalam daging dengan DAP dan PKR mengambil pendirian PAS harus mendapatkan konsensus Pakatan Rakyat jika mahu melaksanakan undang-undang hudud.

DAP menegaskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan bertentangan dengan perlembagaan namun pandangan itu disanggah oleh PAS.

PAS juga menegaskan pelaksanaan undang-undang berkenaan sudahpun menjadi sebahagian agenda parti itu jauh sebelum ia menyertai Pakatan Rakyat pada 2008 –Antarapos


No comments:

Post a Comment