Total Pageviews

Sunday, 12 July 2015

Ulamak asas kepada Perpaduan Melayu Islam bersatu

Ulamak asas perpaduan Melayu Islam Bersatu 

Dalam al-Quran istilah ulama secara jelas disebut pada dua tempat, iaitu:
 
"Tidakkah mereka yang musyrik sedar akan kebenaran dan tidaklah menjadi satu keterangan kepada mereka bahawa pendita agama Bani Israel mengetahui kebenaran al-Quran." (surah Asy-Syuara' ayat 197); dan:
 
"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut kepada Allah daripada kalangan hambaNya hanya orang yang berilmu, sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun." (surah al-Fathir ayat 28)
 
Walaupun surah Ash-Syuara berkaitan dengan Bani Israel, ia menunjukkan bahawa seseorang dikatakan ulama apabila memiliki ilmu pengetahuan yang luas dan mendalam khususnya ilmu fatwa. Ayat kedua menjelaskan seseorang dikatakan mencapai tahap ulama apabila memiliki rasa 'khasyyah' yang bermaksud 'takut dan cinta yang tinggi kepada Allah SWT serta sentiasa memelihara hubungannya dengan Allah.
 
Selain itu, pengajaran dan ilmu yang disampaikan kepada masyarakat mencerminkan takwanya kepada Allah. Dalam aspek ini, Said Hawwa dalam kitabnya 'al-Assasu fi-Tafsir (1985) mengupas pendapat Ibnu Mas'ud yang menyatakan bahawa ulama bukanlah semata-mata orang yang mempunyai banyak ilmu tetapi juga orang yang banyak 'khasyyah' (takut dan cinta yang tinggi) kepada Allah".
 
Ada hadis yang menjelaskan mengenai beberapa ciri ulama dan hampir keseluruhannya mengulas mengenai akhlak dan keperibadian serta sikap terhadap perkara hak dan batil dan sikap terhadap pemerintah. Hadis Riwayat Ahmad menyatakan, "Gambaran ulama di muka bumi adalah seperti bintang di langit yang memberi petunjuk dalam kegelapan di daratan dan lautan.
Apabila bintang berkenaan hilang, maka ditakuti manusia akan tersesat jalan."
 
Ulama adalah cermin dan pemimpin ummah. Barang siapa yang sentiasa bergaul dengannya bertambah kebaikannya" (Hadis Riwayat Jamaah). Seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai keutamaan dan kemuliaan seseorang ulama yang mengamalkan ilmunya berbanding orang yang semata-mata digelar ulama tanpa didukung oleh keluasan ilmunya.
 
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya keutamaan dan kelebihan seorang yang alim berbanding seorang abdi (ahli ibadah) adalah seperti kelebihanku berbanding orang yang paling rendah antara kamu. Sesungguhnya Allah, malaikat, makhluk di langit dan di bumi, malah semut di dalam lubang dan ikan di laut sentiasa memohon keampunan untuk orang lain (ulama
selalu membimbing umat ke arah kebaikan). (Hadis Riwayat Imam Tarmizi)
 
Ketinggian dan kemuliaan kedudukan seorang ulama sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis ternyata bahawa seseorang ulama mempunyai penguasaan ilmu agama yang tinggi dan mendalam. Mereka juga menjadi cermin dan pemimpin umat dalam
menegakkan agama Allah, sanggup mengatakan perkara yang hak.
 
Taraf ulama adalah tinggi. Oleh itu, ulama disebut sebagai waris anbiya, malah Rasulullah menyebut dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Muliakanlah ulama kerana sesungguhnya mereka adalah pewaris Nabi. Barang siapa yang memuliakan ulama sesungguhnya mereka memuliakan Allah dan Rasul-Nya."
(Hadis Riwayat Iman Khatib dari Jabir).
 
Berdasarkan hadis berkenaan istilah ulama tidak perlu lagi ditambah seperti ulama-cendekiawan kerana ulama memang mempunyai ciri-ciri cendekiawanan Muslim yang memahami dengan baik al-Quran, as-Sunnah dan ilmu syariat. Ini ditambah pula dengan ketakwaan dan keperibadian yang mulia.
 
Persoalannya sekarang wujudkah apa yang disebut sebagai ulama jahat?
(as-su'u). Dalam hubungan ini, Rasulullah menyebut dalam beberapa hadisnya bahawa ada orang yang berilmu, mengetahui halal-haram, mengetahui hak dan batil dan memahami al-Quran serta al-hadis sanggup mencampur-adukkan perkara yang hak dan yang batil. Inilah yang dikatakan ulama yang menyeleweng (ulama syirar, as-syin, fasik).
 
Rasulullah pernah ditanya oleh seorang sahabat, "apakah amal perbuatan yang paling utama?" Baginda menjawab, "Teman yang menolong kamu apabila kamu susah dan mengingatkan kamu jika kamu melakukan kesalahan." Sahabat berkenaan bertanya lagi, "manusia yang bagaimana yang paling buruk?"
baginda menjawab, "ulama yang selalu membuat kerosakan." (Hadis Riwayat Jamaah).
 
Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Rosaknya agama disebabkan tiga perkara, iaitu faqih (ahli agama) yang jahat, pemimpin yang zalim dan orang yang bodoh tetapi mahu berijtihad." (Hadis Riwayat Dailami dari Ibnu Abbas).
 
Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin memberi peringatan mengenai wujudnya ulama yang membinasakan dirinya sendiri tetapi ingin menyelamatkan orang lain. Ini bermaksud ulama jenis ini berusaha menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran untuk orang lain, tetapi secara diam-diam mereka sendiri mengejar kedudukan dan harta duniawi.
 
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: "Ketika seseorang dicampakkan ke dalam neraka jahanam pada hari kiamat dan bertaburan isi perutnya, ahli neraka lain bertanya: "mengapakah anda jadi begini sedangkan anda sentiasa menyuruh kami berbuat baik dan mencegah kemungkaran?" Dia menjawab: "Ya benar saya menyuruh kamu semua berbuat baik tetapi saya tidak
melakukannya dan saya yang melarang anda tidak melakukannya tetapi saya sengaja melanggarnya." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Beberapa peringatan berkenaan menunjukkan wujudnya ulama yang tidak menepati ciri-ciri ulama. Apa yang penting ialah ilmu dan penghayatannya serta niat seseorang. Ulama yang berhati bersih, jujur, teguh pendiriannya dan mengutamakan Allah serta RasulNya tetap berpegang teguh pada prinsip dan amanah. Mereka memahami bahawa Allah melaknat mereka jika taraf ulama
yang ada pada diri mereka diselewengkan.
 
Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah kami turunkan dari keterangan yang jelas dan petunjuk setelah kami nyatakan kepada manusia dalam al-Quran, mereka dilaknati Allah dan dilaknati semua makhluk yang dapat melaknati mereka."
(al-Baqarah-159)
 
Ulama yang menunjukkan sikap jujur, bersih dan ikhlas demi menegakkan kalimah Allah dan syiar Islam, merekalah yang "Ulama warasatul anbiyaa".
 
Bagaimanapun, ulama yang mengingkari perjanjian dengan Allah serta mempunyai niat untuk kepentingan diri sehingga sanggup mengorbankan nilai ulama dan imej ulama umumnya perlu kembali ke pangkal jalan. Mereka perlu menghayati sabda Nabi Muhammad yang bermaksud: "Seorang ulama yang menggunakan ilmunya untuk mencari keredhaan Allah, maka segala sesuatu akan tunduk dan kagum kepadanya. Tetapi jika dia menggunakan ilmunya hanya untuk mendapatkan harta dunia, maka hilanglah sesuatu daripadanya." (Hadis Riwayat Dailami) - 

ASI - 13/72015 
 

No comments:

Post a Comment