Semalam, tirai pembukaan Perhimpunan Agung UMNO 2014 bermula dengan perasmian persidangan sayap-sayap parti itu yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Berucap panjang lebar dalam tempoh lebih sejam semalam, antara intipatinya mahu melihat perubahan ketara di kalangan pemimpin sayap-sayap UMNO itu untuk lebih mengutamakan parti berbanding kepentingan diri sendiri.
Selain itu, beliau mahu pemimpin Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO itu berani mendekati rakyat dan memberi khidmat terbaik kepada masyarakat bersesuaian dengan kedudukan mereka sebagai pemimpin sebuah parti yang berkonsep mendahulukan rakyat.
Sempat juga Muhyiddin "menyindir mesra" para perwakilan dan ketua-ketua sayap itu yang sebelum ini begitu galak menunjuk-nunjuk kekayaan mereka pada rakyat secara berlebihan sehingga menimbulkan persoalan di kalangan masyarakat.
Meneliti ucapan Timbalan Presiden UMNO itu semalam, penulis berpandangan segala intipatinya adalah padat dengan nasihat, teguran dan sindiran sinis dari seorang "bapa" kepada "anak-anak"nya.
Tepat dengan senario politik semasa, ucapan tersebut turut menyokong ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berjawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 2008 di majlis yang sama, saling tidak tumpah mahu melihat pimpinan sayap-sayap UMNO "berani berubah".
Soalnya, mengapa isu dan teguran yang serupa dibangkitkan oleh Timbalan Presiden parti itu kepada pemimpin sayap-sayap UMNO semalam? Apakah tiada sebarang perubahan berlaku dalam tempoh 2008 hingga 2014 sehinga beliau terpaksa mengulangi teguran yang serupa?
Secara sinis, pejuang UMNO yang mendengar dan menghayati ucapan Muhyiddin semalam sudah tentu tidak dapat tidur lena semalam memikirkan masa depan umat Islam, Melayu dan tanahair yang selama ini diperjuang oleh parti tonggak kepimpinan negara itu.
Namun bagi mereka yang hanya mendengar sahaja, mungkin selepas selesai ucapan itu disampaikan, mungkin mereka akan bergegas keluar menaiki kenderaan mewah masing-masing, melondeh seragam rasmi UMNO di bilik dan keluar dengan agenda masing-masing.
Ada yang melepak di "coffee house", ada yang sebok berselfie sesama Pemuda, Puteri dan Wanita, ada pula yang sebok menuju ke "Redbox" berkaraoke, dan mungkin ada yang tidur diulit mimpi indah di atas tilam empuk.
Soalnya, apakah segala intipati ucapan Timbalan Presiden UMNO itu sekadar "masuk telinga kanan, keluar di telinga kiri"? Apakah bakal ada perubahan pada pemimpin Wanita, Pemuda dan Puteri selepas ini yang akan disaksikan ahli UMNO dan rakyat?
Apakah perubahan tersebut menjurus ke arah negatif yang akan merosakkan UMNO atau perubahan positif akan berlaku di mana para pemimpin Wanita, Pemuda dan Puteri akan kembali sebagaimana di zaman awal UMNO ditubuhkan dulu?
Bercakap saja tidak mampu merubah apa-apa. Apa yang disarankan Timbalan Presiden UMNO semalam perlu dibuktikan bagi memastikan survival parti tonggak negara itu terus relevan di mata ahli dan rakyat Malaysia.
Justeru itu, penulis menyeru supaya pemimpin Wanita merujuk kembali semangat di era Putih Mariah, Zainab Abdul Rahman, Saleha Ali, Ibu Zain, Khatijah Sidek, Fatimah Hashim dan Aishah Ghani.
Pemuda UMNO pula perlu kembali garang seperti di zaman Kapten Hussien Onn, Tun Abdul Razak, Sardon Zubir, Harun Idris, Datuk Senu, Syed Jaafar Albar dan Najib Tun Razak.
Puteri UMNO sebagai sayap bongsu, sekurang-kurangnya kembalilah ke zaman Azalina Othman yang ketika itu mendapat sambutan hangat dari kalangan golongan muda khususnya para mahasiswi di IPTA di seluruh negara.
Paling mustahak, semua sayap-sayap UMNO itu perlu kembali ke perjuangan asal parti dengan mengimarahkan Islam di Malaysia, memartabat dan mempertahan bangsa Melayu di bumi sendiri dan mendaulatkan tanahair yang asalnya bernama Tanah Melayu.
Ahmad Shuaib Bin Ismail
Ketua Unit Profesional Umno
Jabatan Penerangan Umno Selangor