Pejuang hak asasi manusia & liberal termasuk Penganut Ajaran Syiah PAS sering menggunakan piagam madinah utk menyokong tindakan mereka. Manakala parti politik sering gunakan piagam ini sbg hujjah tahaluf siyasi masing-masing.
Adakah mereka faham bahawa piagam ini sangat mementingkan kedaulatan syarak, bukannya kebebasan mutlak kepada non muslim?
Ikuti kupasan di bawah.
PIAGAM MADINAH : CONTOHI PERPADUAN BERTUNJANGKAN KEDAULATAN SYARAK
December 2, 2014 Majlis Ulama ISMA
Perbincangan berkenaan perpaduan berasaskan Piagam Madinah bukanlah suatu perkara yang asing di dalam Negara ini. Antara sebab ianya timbul adalah kerana suasana Malaysia yang wujud hampir dengan suasana di Madinah ketika itu, iaitu suasana masyarakat majmu’ yang mempunyai kepelbagaian agama.
Samada pihak Islamis ataupon pihak berfahaman Islam liberal bahkan bukan Islam sendiri, kesemuanya menggunakan hujah dokumen ini bagi mengesahkan apa yang mereka seru. Namun disebalik kesimpulan yang mereka buat tersebut, saya amat yakin mereka sendiri tidak pernah membaca isi kandungan piagam ini satu per satu, fasal demi fasal. Kerana jika mereka membacanya secara mendalam mereka akan dapati Piagam Madinah adalah lambang perpaduan bertunjangkan Kedaulatan Syarak
Latar belakang yang dilupakan
Peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah merupakan antara titik paling besar di dalam Sirah Rasulullah SAW juga Tarikh Islami itu sendiri. Peristiwa tersebut melambangkan pelbagai perkara serta memberi banyak ibrah yang tersirat. Antaranya adalah peristiwa tersebut sebagai suatu lambang kemuncak keimanan apabila sanggup meninggalkan seluruh harta dan ahli keluarga demi masalahat iman. Peristiwa tersebut juga sebagai petanda bermulanya suatu fasa baru dalam dakwah.
Perubahan daripada fasa yang bersifat tempatan kepada peringkat antarabangsa, daripada bersikap bertahan atas kekejaman kepada bersikap lantang menentang kezaliman, daripada fasa berbentuk masyarakat kepada fasa sebuah Negara, daripada wahyu yang berbincang soal Aqidah kepada petunjuk yang memandu soal sistem kenegaraan. Nilai hijrah ini terlalu besar terhadap umat, lalu atas dasar itu Saidina Umar Al-Khattab telah menjadikannya sebagai rujukan di dalam penggiraan kalender Hijrah.
Abu Qasim al-Suhayli (1185M) seorang sejarawan Islam di Andalus menyebut:
Sahabat telah berbincang di mana bermulanya pengiraan tarikh Islam lalu mereka bersetuju ianya bermula daripada tahun Hijrah. Kerana pada waktu itulah bermulanya keizzahan terhadap Islam.
Di celah-celah perubahan fasa inilah wujudnya Piagam Madinah, iaitu antara polisi pertama yang Rasulullah SAW lakukan sebagai ketua Negara dalam membentuk sebuah Negara. Pembentukan piagam ini perlu dilihat secara holistik, bukan sekadar kepada isi kandungannya tetapi suasana sekeliling yang berlaku juga jiwa-jiwa umat yang telah terbentuk ketika itu yang akhirnya menghasilkan sebuah dokumen perlembagaan.
Ramai pada hari ini terutama mereka yang membawa fahaman Islam liberal yang berbicara mengenai piagam madinah tanpa memahami serta membentangkan terlebih dahulu suasana yang wujud ketika itu. Mereka telah mempergunakan peristiwa ini sebagai dalil mereka untuk menyeru kearah kesamarataan menyeluruh serta dijadikan hujah untuk menyebarkan fahaman liberal dan secular mereka. Mereka menyerang Islam dengan bersenjatakan Islam itu sendiri.
Sedangkan hakikatnya mereka tidak faham bahawa piagam ini merupakan sebuah terjemahan kepada kefahaman Aqidah yang ditanam dengan mampan sepanjang tiga belas tahun di Makkah. Ianya adalah suatu dokumen yang lahir daripada mereka yang menjiwai nilai ketauhidan yang tersemai dengan utuh dalam jiwa-jiwa mereka. Mereka tidak faham akan latar belakang piagam yang agung ini.
Bahkan piagam ini bukan sekadar menjadi terjemahan kepada apa yang sedia ada di dalam jiwa umat Islam ketika itu, ianya turut menjadi batu asas kepada apa yang bakal berlaku selepas itu, pengisytiharan jihad, penyebaran Islam yang akhirnya membawa umat Islam menguasai dua pertiga dunia, kesemuanya bermula daripada piagam ini. Dr Said Ramadan Al-Buti menyebut dalam kitab Fiqh Sirah berkenaan hal ini:
Tidak mungkin akan berdirinya sebuah tanah yang berdiri padanya hukum serta syariat Islam tanpa adanya sebuah sistem keperlembagaan seperti yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW (ketika tiba di Madinah)
Sebab itu saya berani menyatakan bahawa piagam ini bukan sekadar berbicara soal keadilan, kemasalahatan dunyawi rakyat dll tetapi lebih penting adalah ianya merupakan manifestasi kepada tunjang paling utama yang perlu wujud di dalam sebuah Negara Islam iaitu Kedaulatan Syarak.:
Kandungan yang dibutakan
Kebanyakan mereka yang menghujahkan Piagam Madinah kearah seruan-seruan liberal kebiasaannya hanya akan menyebut piagam ini secara umum, lalu menyimpulkannya berdasarkan kehendak serta hawa nafsu mereka. Mereka tidak akan sebut secara spesifik di bahagian mana piagam Madinah menyeru kearah apa yang mereka serukan, kerana mereka sedar apa yang mereka simpulkan itu tidak wujud.
Yang wujud di dalam 47 fasal piagam tersebut hanyalah suatu seruan yang sungguh jelas iaitu kearah Kedaulatan Syarak. Ini jelas dapat dilihat apabila sejak daripada bahagian pertama piagam ini, ia berbicara tentang hak serta tanggungjawab umat Islam di dalam sebuah Negara.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Ini adalah piagam dari Muhammad Rasulullah SAW, di kalangan mukminin dan muslimin (yang berasal dari) Quraisy dan Yatsrib (Madinah), dan yang mengikuti mereka, menggabungkan diri dan berjuang bersama mereka.
Fasal 1: Sesungguhnya mereka adalah satu umat, bebas daripada pengusaan manusia lain (berdaulat).
Perkara ini menunjukkan kedudukan Islam itu berada pada kedudukan yang tersendiri serta tertinggi dalam sebuah Negara, hinggakan perpaduan dalam negara itu diterjemahkan sebagai sebagai kesatuan umat Islam sebelum berbicara tentang bentuk-bentuk perpaduan yang lain. Perpaduan umat Islam itu juga dilihat sebagai perpaduan yang paing hebat hinggakan tiada sebarag manusia berhak ke atas golongan yang beriman. Inilah izzah!
Setelah itu hampir separuh daripada isi piagam itu berbicara tentang hal-hal umat Islam khususnya dalam hal taawun (saling bantu membantu) antara satu lain. Kedudukan istimewa Islam ini semakin jelas apabila disebut tentang perihal larangan orang kafir masuk campur dalam urusan umat Islam.
Fasal 14: Seorang mukmin tidak boleh membunuh orang beriman lainnya lantaran membunuh orang kafir. Tidak boleh pula orang beriman membantu orang kafir untuk (membunuh) orang beriman.
Dr Munir Ghadban menyebut di dalam kitabnya “Manhaj Siyasi li Sirah Nabawiyyah” mengenai fasal ini:
Perkara ini jelas menunjukkan tanah ini merupakan daulah Imaniyyah, tidak mungkin atas daulah ini berlakunya penyamarataan antara muslim dan kafir. Inilah perkara yang difahami oleh sebuah masyarakat baru berpandukan kepada wahyu:
مَثَلُ ٱلۡفَرِيقَيۡنِ ڪَٱلۡأَعۡمَىٰ وَٱلۡأَصَمِّ وَٱلۡبَصِيرِ وَٱلسَّمِيعِۚ هَلۡ يَسۡتَوِيَانِ مَثَلاًۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
Bandingan dua golongan (yang kafir dan yang beriman) itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; kedua-dua golongan itu tidaklah sama keadaannya. (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka tidakkah kamu mahu mengambil peringatan dan insaf? (Surah Hudd: 24)
Lalu kemulian serta keagungan Islam ini disimpulkan dalam suatu ayat jami’ mani’ yang mempunyai maksud sungguh mendalam iaitu:
Fasal 19: Orang-orang beriman dan bertakwa berada pada petunjuk yang terbaik dan lurus.
Fasal ini menjadikan hanya Islam sahaja yang berada atas puncak kebenaran serta jalan yang lurus, ianya juga merupakan suatu seruan dakwah kepada manusia lain kearah kemulian Islam. Mulianya Islam itu bukan sekadar pada agamanya, malah orang yang berpegang pada kebenaran ini juga disebut sebagai khairu ummah (sebaik-baik umat). Perkara ini selari dengan apa yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW:
قال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : الإسلامُ يعلو ، ولا يُعلَى
Rasulullah SAW bersabda : Islam adalah yang tertinggi dan tidak ada yang tinggi (dari Islam)
Lalu asas ini diperkembangkan hinggakan dalam urusan perlindungan terhadap orang bukan Islam khususnya Yahudi yang wujud ketika itu di Madinah kesemuanya bergantung kepada sejauh mana mereka tunduk patuh kepada sistem ini. Iaitu sejauh mana mereka wala’ ke atas Kedaulatan Syarak.
Fasal 16: Sesungguhnya orang Yahudi yang setia kepada Negara ini berhak atas pertolongan, perlindungan dan layanan yang baik, sepanjang mereka tidak menzalimi serta menentang golongan muslimin.
Sebab itulah peristiwa yang berlaku setelah itu iaitu Yahudi dihalau daripada Madinah terjadi, kerana mereka tidak lagi tunduk serta hilangnya wala’ mereka ke atas Kedaulatan Syarak. Menentang Islam menyebabkan mereka hilang kewarganegaraan Negara Madinah.
Perpaduan yang diimpikan
Akhirnya jika kita teliti satu demi satu fasal juga helaian di dalam piagam ini, kita akan dapati ianya adalah sebuah hasil mereka yang benar Aqidahnya, teguh prinsipnya. Berasa izzah dengan al-haq yang mereka miliki lalu diterjemahkan ke dalam semua urusan kehidupan termasuklah dalam urus tadbir sebuah Negara. Mereka membenarkan janji mereka kepada Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam lalu dibenarkan janji-Nya ke atas mereka.
Jika kita benar-benar inginkan sebuah perpaduan yang lahir seperti di bumi Madinah Al-Munawwarah maka jujurlah dalam menjadikan piagam ini sebagai suatu panduan dalam membuat sebarang polisi kearah integrasi nasional. Selalu kita menyangka, perpaduan itu akan lahir apabila berlakunya pencairan sedangkan realitinyanya tidak. Juga sejarah telah membuktikan bagaimana atas asas perpaduan piagam ini akhirnya melayakkan umat Islam menjadi kuasa besar di atas muka bumi ini lebih daripada 1,000 tahun.
صِبۡغَةَ ٱللَّهِۖ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ صِبۡغَةً۬ۖ وَنَحۡنُ لَهُ ۥ عَـٰبِدُونَ
(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat. (Surah Al Baqarah: 138)
Rujukan:
Fiqh Sirah Nabawiyah, Dr Muhammad Sai’d Ramadan Al-Buti
Al-Manhaj As Siyasi li-Sirah Nabawiyah, Dr Munir Muhammad Ghadban
Al Raud Al-Anf, Abu Qasim Al-Suhayli
As-Siroh An-Nabawiyah, Ibnu Ishaq
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)
"MEMBANGUN UMMAH BERAGENDA"