Kenapa pas wajib tinggalkan dap pkr
Ciri-ciri Prinsip Harakah Islamiah
1. Gerakan Yang Bersifat Rabbaniyyah.
Harakah Islamiyah adalah bersifat Rabbani kerana keseluruhan konsep, hukum-hakam, akhlak, tata-tusila dan pemikirannya adalah bersumber dari agama Allah yang kekal abadi dan risalah yang terakhir. Harakah Islamiyah adalah satu gerakan menyeru manusia kepada Allah bukannya kepada kepentingan para petugas di dalamnya atau orang-orang yang memikul tanggungjawab. Allah berfirman:
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya:
"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam."
(Surah Al-An’am 6: Ayat 162)
Harakah Islamiyah bukanlah sebuah organisasi sebagaimana sebuah parti politik biasa pada masa sekarang. Harakah Islamiyah juga bukanlah sebuah organisasi yang menjadi tempat perebutan kuasa untuk menjadi pemimpin bagi mencapai tujuan-tujuan atau kepentingan peribadi sebagaimana yang berlaku dalam organisasi-organisasi lain pada hari in. Tetapi yang lebih penting dalam Harakah Islamiyah ialah pemimpin atasan atau orang besar terlebih dahulu mematuhi syariat Allah sebelum diikuti oleh para pengikut bawahan dan anggota biasa.
2. Gerakan Yang Bersifat Tersendiri.
Harakah Islamiyah bersifat tersendiri dengan maksud kelahirannya di tengah-tengah (umat Islam), (di atas dasar kesedaran mereka sendiri) bukan diimpot atau ditiru dari timur mahupun dari barat sebagaimana lahirnya organisasi dan persatuan-persatuan yang lain. Ini adalah kerana dakwah kita (yang dibawa oleh Harakah Islamiyah) adalah dakwah kepada Allah manakala perasaan berhajat kepada agama pula merupakan satu ciri yang sangat kuat bagi umat ini. Melalui cara inilah juga umat Islam dikenali untuk jangka waktu yang amat penting. Umat Islam di zaman akhir ini tidaklah dapat diperbaiki melainkan oleh sesuatu yang telah memperbaiki dan memperelokkan umat Islam sebelumnya, iaitu ajaran Islam itu sendiri.
2.1. Gerakan Pembawa Kemajuan.
Dengan segala kendungan bawaannya sama ada dari sudut akidah, syariat dan pandangannya terhadap ‘alam, manusia dan kehidupan menjadikan Harakah Islamiyah gerakan yang paling cekap dan paling mampu untuk menyelesaikan masalah-masalah manusia dan kehidupan dibandingkan dengan undang-undang ciptaan manusia yang bersifat serba lemah dan serba kekurangan.
Namun demikian kemajuan dalam Islam bukanlah sebagaimana yang dikehendaki dan difahami oleh golongan yang mendakwakan diri sebagai pejuang kemajuan, kerana kemajuan mengikut pengertian golongan ini adalah palsu lagi merosakkan, kemajuan yang terlepas dari ikatan akhlak dan kesusilaan yang luhur. Kemajuan dalam Islam dalam erti kata yang sebenar ialah kemajuan dalam memurnikan perasaan manusia, pemikiran mereka dan akhlak mereka, kemajuan dalam memperdalamkan ilmu pengetahuan dan menerokai atau menyingkap rahsia-rahsia di sebalik kejadian alam yang agung ini, yang bukan bertujuan semata-mata untuk menciptakan satu pencapaian baru dalam bidang ilmu. Tetapi tujuan sebenar kemajuan tersebut ialah demi untuk demi untuk menambahkan lagi makrifat manusia terhadap kebesaran, keindahan, kekuatan dan keagungan Allah, Tuhan Semesta Alam ini.
Kemajuan dalam Islam menyuruh manusia supaya mengambil segala alat-alat ciptaan sesuai dengan penerimaan ‘akal-fikiran dengan syarat barang-barang tersebut hendaklah digunakan kepada perkara-perkara yang membawa kebaikan kepada umum. Inilah yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah s.a.w:
“Ambillah hikmah itu dari mana saja datangnya”.
Dan sabdanya lagi yang bermaksud:
“Hikmat itu barang kehilangan orang Islam, di mana saja beliau menemuinya, ialah yang lebih berhak menerimanya.”
2.2. Gerakan Yang Syumul.
Harakah Islamiyah mestilah gerakan yang syumul dengan pengertian dakwah dan usaha kerjanya tidaklah dibataskan untuk memperbaiki satu sudut atau sudut-sudut tertentu sahaja dari kehidupan ini, dengan membiarkan sudut-sudut yang lain kerana sifat-sifat keIslaman Harakah Islamiyah itu sendiri menunjukkan kesempurnaan dan kesyumulannya.
Oleh yang demikian gerakannya adalah dakwah salafiyyah kerana ia menyeru manusia supaya kembali berpegang kepada sumber Islam yang asli iaitu Al-Qur’an dan Sunnah rasulullah s.a.w.
Ia juga adalah dakwah dan tarikat sunnah kerana ia bekerja menghidupkan sunnah yang mulia di dalam kehidupan individu dan masyarakat.
Ia juga adalah dakwah yang mempunyai ikatan Rabbaniah (Rabitah Rabbaniah) kerana ia yakin bahawa asas kebaikan itu ialah kebersihan jiwa, kesucian hati dan adanya ikatan hubungan yang mantap dengan Allah s.w.t.
Ia juga merupakan Harakah Siasah (politik) kerana ia bekerja serta bertanggungjawab kepada urusan umat Islam disetiap bidang.
2.3. Harakah Yang Menjauhi Perselisihan Masalah Fekah.
Harakah Islamiyah meyakini bahawa perbezaan dalam perkara-perkara cabang (furu’iyyah) dalam bidang fekah, adalah perkara yang tidak dapat dielakkan. Oleh yang demikian Harakah Islamiyah berusaha menyeru umat Islam supaya bersatu di atas dasar-dasar pokok (usul) ajaran Islam serta kaedah-kaedah yang telah disepakati.
Berhubung dengan pendirian ini Al-Imam Hasan Al-Banna Rahimahullah merumuskan:
“Kita bukanlah sebuah parti politik, sekalipun politik (siasah) yang berasaskan kaedah-kaedah Islam adalah intisari fikrah kita. Kita bukanlah pertubuhan kebajikan sekalipun amal kebajikan dan khairat adalah di antara tujuan gerakan kita yang sangat besar. Kita juga bukan perkumpulan riadah sekalipun riadah atau rekreasi dan riadah ruhiyyah adalah di antara wasilah-wasilah yang kita amalkan.
Kita bukanlah sebuah jama’ah dalam pengertian seperti pertubuhan-pertubuhan tersebut kerana kelahiran pertubuhan tersebut adalah untuk matlamat-matlamat tertentu dan untuk jangka waktu yang tertentu pula. Boleh jadi pertubuhan-pertubuhan berkenaan ditubuhkan semata-mata kerana ingin mengadakan persatuan dan cita-cita inginkan gelaran dan kedudukan dalam pentadbiran dan organisasi tersebut.
Tetapi perjuangan kita adalah perjuangan yang berdasarkan fikrah dan ‘akidah, nizam(peraturan/undang-undang) dan manhaj(kaedah) yang tidak membataskan tujuan dan matlamat hanya kepada bangsa tertentu dan kawasan atau wilayah tertentu sahaja.
Perjuangan kita tidak akan berhenti dengan penyelesaian masalah tertentu malah ia akan berterusan hingga ke hari Kiamat kerana Islam adalah sistem ciptaan Tuhan alam semesta ini dan manhaj Rasul-Nya yang paling dipercayai.
Kita menyatakan kepada manusia secara tidak bermegah-megah bahawa kita adalah para pengikut angkatan sahabat Rasulullah s.a.w yang menjadi pembawa panji-panji Islam selepas kewafatan Baginda s.a.w. Kita adalah angkatan yang menjulang kembali bendera Rasulullah s.a.w sebagaimana para sahabat r.a telah melakukannya. Kita akan menyiarkan dakwah baginda sebagaimana yang telah disiarkan oleh mereka. Kita akan memelihara kandungan kitab suci Al-Quran sebagaimana para sahabat telah memeliharanya. Kita adalah pembawa berita gembira melalui dakwah baginda sebagaimana para sahabat telah melakukannya dan ia akan menjadi rahmat ke seluruh alam. Anda pasti akan mengetahui perkhabaran-perkhabarannya dalam sedikit masa lagi
No comments:
Post a Comment