Tuesday, 21 April 2015

Isu salib gereja di petaling Jaya

#ISU_SALIB_GEREJA 
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mendedahkan gereja di Taman Jaya yang mendapat bantahan penduduk setempat terhadap tanda salib itu tidak membuat  permohonan bertulis untuk beroperasi sebagai tempat beribadat.
Turut didedahkan ialah gereja yang terletak di Metro Square PJS2B/3 itu tidak mempunyai permit untuk menggantung simbol salib di bangunan berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria berkata, berdasarkan pemeriksaan data pelesenan mendedahkan bahawa unit kedai yang digunakan sebagai gereja itu tidak mempunyai lesen untuk beroperasi sebagai tempat beribadat.

Ahad lalu, sekumpulan 50 penduduk berhimpun di luar gereja bagi membantah terhadap tanda salib pada bangunan itu, dengan mendakwa ia mencabar Islam.

Kumpulan itu mendesak gereja berkenaan supaya menurunkan tanda salib. Ia kemudiannya diturunkan pada kira-kira pukul 2 petang hari yang sama.

Zainun berkata, gereja itu boleh membuat permohonan bertulis untuk mendapatkan lesen.

"Unit kedai yang diubah menjadi tempat beribadat atau pusat meditasi mesti mengikut Akta 133 Seksyen 70(12) dan satu permohonan bertulis dengan menjelaskan aktivitinya perlu dikemukakan bagi mendapatkan kelulusan. Perkara ini perlu dipatuhi bagi memastikan keselamatan mereka yang menggunakan bangunan itu," katanya.

Beliau menambah, semua tempat beribadat yang mahu memaparkan logo atau simbol pada bangunan perlu mendapatkan permit MBPJ.

"Sama ada lambang teratai, tombak bercabang tiga mahupun salib, permit majlis perbandaran diperlukan," kata Zainun.

Pegawai MBPJ membuat lawatan ke unit kedai itu pada Isnin untuk mengadakan perjumpaan dengan wakil gereja namun ia tidak berpenghuni ketika itu.-sumber 21/4/2015 Agendadaily 

No comments:

Post a Comment