Wednesday, 11 March 2015

Isu 1MDB buat apa nak berhutang duit Rakyat

1MDB


1MDB dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) sebelum ditukar namanya pada 2009.


Ia dipanggil dana kekayaan negara (sovereign wealth fund) kerana menggunakan royalti minyak Terengganu. 


Tetapi yang sebenarnya adalah- ia menjadikan royalti minyak tersebut sebagai 'jaminan' untuk mendapatkan pinjaman.


Sebab itu dari segi teknilal, 1MDB adalah syarikat pelaburan strategik kerana ia berhutang dalam melabur. 


Ke manakah wang pelaburan ini pergi?


Objektif awal 1MDB adalah untuk melabur di dalam sektor Minyak dan Gas, khususnya sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Oleh itu PetroSaudi dari Arab Saudi diajak untuk usahasama. 


Selepas 2 tahun- dengan dana sejumlah RM8 billion di Pulau Cayman, mereka hanya meneroka rizab minyak di Laut Caspian.


Menyedari sektor Minyak & Gas begitu berisiko, maka usahasama ini ditamatkan. 


Lalu diajak pula syarikat Aabar daripada UAE untuk bekerjasama dan ditubuhkan Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC).


Perniagaan yang ingin diceburi pula adalah sektor tenaga dan hartanah.


Maka dibelilah aset-aset penjana elektrik serta tanah bagi tujuan tersebut. Pembelian ini sudah pastilah melalui hutang.


Berhutang dalam meluaskan perniagaan adalah antara model perniagaan. Model ini dipanggil sebagai 'leveraging model'. Dan ini adalah perkara biasa.


Usahawan Tan Sri Syed Mokhtar juga berhutang dengan banyak sebanyak RM34.3 billion. Tetapi sebuah syarikatnya seperti DRB Hicom sahaja menyediakan 60,000 pekerjaan. Beliau ada berpuluh buah syarikat. 


Dalam erti kata lain, hutangnya banyak, pulangannya juga banyak.


1MDB menggunakan jaminan kerajaan untuk 'leverage' dalam mendapatkan modal melalui hutang.


Ini menjelaskan mengapa sebuah syarikat yang berusia 5 tahun mampu berhutang dengan banyak kerana dengan jaminan daripada kerajaan, mana-mana bank bersedia untuk memberi pinjaman.


Ini kerana syarikat yang dijamin kerajaan tidak akan dibiarkan rugi. Oleh itu ia berisiko rendah.


Walaupun jaminan tersebut bukanlah berupa jaminan membayar hutang secara langsung, tetapi 1MDB adalah anak syarikat kerajaan. Secara tidak langsung, risiko hutang tersebut tetap ada kepada kerajaan.


Kita bercakap tentang hutang sebanyak RM49.1 billion.


Kebiasaannya bagi agensi pelaburan kerajaan, mereka melabur di dalam produk yang berisiko rendah seperti bond dan hartanah. 


Sebab itu Felda, PNB, Tabung Haji dan KWSP membeli hartanah di London. Lebih-lebih lagi pembelian ini bukan dengan berhutang.


Oleh yang demikian, yang menjadi pertikaian dengan 1MDB ini adalah model perniagaannya yang berasaskan 'leverage'. 


Atas sebab inilah seorang bekas Perdana Menteri Malaysia mempersoalkan mengapa kita perlukan entiti seperti 1MDB yang berhutang untuk melabur.


Beliau mengkritik sesuatu yang tepat. Model perniagaan 1MDB berisiko tinggi. Apatah lagi melibatkan kerajaan.


Aset 1MDB dilaporkan bernilai RM51.4 billion. Ia melebihi jumlah hutang. Tetapi perlu diingat nilai aset ini bersandarkan pada penilaian harga tanah dan penjana tenaga yang dimiliki.


Maknanya penilaian tersebut hanyalah di atas kertas. Ia boleh berubah mengikut keadaan. Lebih buruk jika penilaian tersebut tidak tepat.


Sedangkan hutang yang diambil serta komisen yang diberi adalah benar dan tidak berubah.


Ini sedikit sebanyak berkenaan dengan 1MDB. 


Kita boleh bersifat kritikal terhadap 1MDB. Tetapi apakah objektif daripada kritikan kita?


Ahli politik seperti Tony Pua dan Rafizi sudah pastilah mahu menggunakan isu 1MDB demi undi pilihanraya. 


Bahkan, begitu terdesaknya Rafizi sehinggakan mengelirukan rakyat dengan dakwaan kerajaan menerbitkan dua buah bond pada awal 2015 yang berjumlah RM2 billion bagi membayar hutang 1MDB.


Hakikatnya terdapat 8 lagi bond yang diterbitkan pada hujung 2014 dan awal 2015 yang berjumlah RM10.8 billion. Mengapa 'cherry-picking' fakta? 


Ini jelas menunjukkan mereka mengkritik bukannya kerana benar-benar risau akan impak hutang 1MDB kepada ekonomi negara. Sebaliknya mahu membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia at all costs.


Adakah kita seperti mereka dalam mengkritik 1MDB?


Ahmad Shuaib Ismail 

11-3-2015

No comments:

Post a Comment