Wednesday, 26 November 2014

Di mana anak anak melayu selepas ini ?

Membaca semula pesanan silam !


Generasi orang Melayu terdahulu atau lebih sinonim disebut "orang tua-tua" dalam konteks budaya orang Melayu mempunyai dan mewariskan kebijaksanaan yang tidak ternilai harganya. 

Kebijaksanaan silam "orang tua-tua" berkait rapat dengan perihal hidup, sarat dengan nasihat serta peringatan. Sehingga kini kita sendiri pun tidak tahu siapakah individu yang menitipkan warisan kebijaksanaan silam kepada generasi hari ini.

Tetapi yang pasti mereka tentunya bukanlah bertaraf sarjana atau cerdik pandai yang dikenali ramai. Bagaimanapun kecerdikan dan kebijaksanaan mereka tetap relevan dengan semua zaman, biarpun kita dengan angkuhnya berkata, "Kami hidup dalam dunia pasca-moden".

Dalam meredah kehidupan politik masa kini, kita janganlah angkuh menolak kebijaksanaan silam yang banyak memberi peringatan tentang sepak terajang manusia. Orang Melayu sudah lama diingatkan berfikirlah banyak kali untuk melepaskan anjing tersepit kerana anjing jarang mengenang budi orang berjasa kepadanya.

Peringatan yang dititipkan oleh entah siapa tetapi sangat berguna supaya kita jangan menjadi mangsa anjing yang kita tolong. Orang Melayu memang terkenal dengan baik hati dan pemurah hingga membinasakan diri.

Barangkali ada baiknya kita menoleh, menghayat dan membaca kembali pesan-pesan yang bijaksana ditinggalkan oleh generasi terdahulu. Banyak perkara yang disentuh oleh generasi silam berlaku kepada kita pada hari ini dan tentunya peringatan tentang perilaku orang Melayu perlu diberi perhatian.

Pesanan yang dikiaskan kepada alam budaya di sekitar orang Melayu mempunyai maksud yang sangat mendalam. Apabila mereka melihat perihal kaduk yang menyerupai sirih dan menjalar di junjung sirih, mereka pun berpesan, jangan jadi seperti kaduk naik junjung. Kaduk lupa diri dan perasan ia adalah sirih, satu yang penting dalam alam budaya orang Melayu. Tetapi kaduk tiada gunanya.

Kemudian kita pun temui pesanan berbunyi, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Kebaikan yang tidak bertempat atau melampau selalunya mengundang kesusahan kepada diri sendiri.

Malah orang Melayu terdahulu juga menyindir perihal orang Melayu sendiri, dagang lalu ditanakkan nasi, anak di rumah kelaparan. Kisah orang dagang mahu memijak kepala orang Melayu tidak pernah selesai. Orang Melayu sudah melakukan pengorbanan "menanakkan nasi" atau memberi peluang untuk hidup kepada orang dagang biar pun anak-anak mereka tidak berpuas hati.

Inilah kebaikan orang Melayu tetapi akhirnya sikap itu memakan diri apabila orang dagang terlupa sifat-sifat seharusnya sebagai pedagang atau perantau. Orang Melayu mesti mengingati semua pesan-pesan silam generasi terdahulu supaya mereka tidak terkena untuk kali yang entah ke berapa.

Ketika ada pihak yang memperleceh dan mempertikaikan kedudukan orang Melayu kononnya tidak berlaku adil kepada kaum lain, inilah padahnya, "Dagang lalu ditanakkan nasi, biar anak sendiri kelaparan."

Maka benarlah kata orang tua-tua, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Orang Melayu kena mengingati pesanan supaya mereka jangan lagi memagar nyiur yang condong, buahnya jatuh ke halaman orang.

Orang Melayu bersusah payah memberi baja dan menjaga supaya perdu pokok kelapa sentiasa selamat, tetapi orang lain yang mengutip buahnya. Yang buruknya mereka ini tidak mengenang budi. Ini sama seperti memberi susu dibalas tuba.


Ahmad Shuaib Bin Ismail
Unit Profesional Umno
Jabatan penerangan Umno Selangor

1 comment:

  1. "Orang Melayu bersusah payah memberi baja dan menjaga supaya perdu pokok kelapa sentiasa selamat, tetapi orang lain yang mengutip buahnya. Yang buruknya mereka ini tidak mengenang budi. Ini sama seperti memberi susu dibalas tuba" -- benar. Akan tetapi kalau yang diberi kuasa itu seperti pagar memakan padi bagaimana pula?

    ReplyDelete